Ubah stigma masyarakat galak penagih terima rawatan

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

KLANG - Masyarakat perlu mengubah stigma terhadap penagih dadah dalam usaha menggalakkan mereka tampil secara sukarela mendapatkan rawatan dan bantuan profesional.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, program kementerian bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai HIV/AIDS dilihat berjaya mengubah persepsi masyarakat terhadap individu tersebut.

Justeru katanya, perkara sama perlu diamalkan terhadap penagih dadah selain individu yang mengalami masalah mental.

“Penagih dadah masih lagi dengan pemikiran bahawa masyarakat akan mengeluarkan komen keji termasuk menangkap dan memenjarakan mereka.

“Jadi kalau kita terus dengan persepsi itu selain tiada fakta sains, prejudis akan terus berleluasa sekali gus mempengaruhi penagih dadah,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Mengakhiri AIDS melalui kerjasama Pintar ‘GO-NGO’ Model KK 2.0 Peringkat Kebangsaan, di sini pada Ahad.

Melalui pelancaran inisiatif tersebut, mereka yang terbabit turun ke lapangan dan memberi pendedahan terutama kepada golongan agar maklumat berhubung risiko dan rawatan itu dapat disampaikan.

Menurutnya, ia membolehkan NGO turut sama beroperasi di klinik kesihatan untuk membantu mengukuhkan program pengurangan mudarat kepada pesakit HIV/AIDS.

"Klinik Kesihatan Pandamaran, Klang dipilih melaksanakan program tersebut dengan kerjasama Majlis AIDS Malaysia (MAM)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau lagi, melalui pemerkasaan komuniti dan NGO itu juga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap dapat mengakhiri AIDS pada 2030 melalui National Strategic Plan in Ending AIDS 2016-2030.