RM1.3 juta dibayar kepada 764 penghantar makanan terbabit kemalangan

Awang (tengah) menyampaikan faedah hilang upaya sementara kepada Hussain disaksikan Pengarah Perkeso Kedah, Mohamad Haron Othman (kanan) di rumahnya di Kampung Sukamari pada Ahad.
Awang (tengah) menyampaikan faedah hilang upaya sementara kepada Hussain disaksikan Pengarah Perkeso Kedah, Mohamad Haron Othman (kanan) di rumahnya di Kampung Sukamari pada Ahad.
A
A
A

PENDANG - Seramai 764 penghantar makanan yang terlibat kemalangan di seluruh negara telah menerima bayaran faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM1.3 juta setakat ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, jumlah bayaran itu membabitkan individu yang hilang upaya sementara serta kekal dan faedah perubatan, orang tanggungan dan yang meninggal dunia.

Menurutnya, tuntutan akan diproses segera sekiranya dokumen yang dihantar lengkap termasuk pengesahan doktor.

"Jadi, dari sudut perlindungan dan kebajikan ini kita perlu beri perhatian, sebab dalam apa kerja pun dalam dunia ini ada risiko, jadi risiko inilah kita beri tumpuan," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan faedah hilang upaya sementara kepada penghantar makanan Hussain Mohamad Danial, 25, di rumahnya di Kampung Sukamari, di sini pada Ahad.

Menurutnya, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada 2.38 juta orang bekerja sendiri (OBS) di seluruh negara akan membuat caruman dengan Perkeso pada tahun ini.

"Berdasarkan rekod, ketika ini hanya 15.03 peratus atau 358,214 OBS mencarum dengan pertubuhan keselamatan itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Awang memaklumkan sehingga kini pihaknya sudah menerima 12,000 aduan pekerja terhadap majikan menerusi aplikasi 'Working For Workers' (WFW) sejak ia dilancarkan pada Mei tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, kementerian sudah menyelesaikan 60 peratus kes aduan, manakala selebihnya sedang disiasat dan diambil tindakan.

Artikel Berkaitan:

"Kes-kes ini turut membabitkan mangsa banjir yang dibuang kerja oleh majikan mereka kerana tidak pergi bekerja dengan alasan banjir.

"Saya belum dapat data yang tepat berkaitan jumlah aduan daripada mangsa banjir namun kita akan siasat dan melakukan semakan termasuk mengheret majikan ke mahkamah sekiranya didapati terdapat penindasan terhadap pekerja," katanya.

Sementara itu, Hussain yang merupakan penuntut di sebuah universiti di Cairo, Mesir terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan mengambil pesanan pelanggan pada Jun tahun lalu menyebabkan paha kiri dan tulang pinggulnya kirinya patah.