Penduduk orang asli DUN Lintang gembira peroleh perkhidmatan bas

Mohd Zolkafly (kiri) bersama Zamri (tengah) dan Zulqarnain ketika menyempurnakan Majlis perasmian Bas Perak Sejahtera Peringkat Daerah Sungai Siput di Orang Asli One Stop Center, Bawong, Sungai Siput pada Ahad.
Mohd Zolkafly (kiri) bersama Zamri (tengah) dan Zulqarnain ketika menyempurnakan Majlis perasmian Bas Perak Sejahtera Peringkat Daerah Sungai Siput di Orang Asli One Stop Center, Bawong, Sungai Siput pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - [KEMAS KINI] Kerajaan Perak memperkenalkan perkhidmatan Bas Perak Sejahtera yang pertama seumpamanya bagi manfaat penduduk orang asli di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, perkhidmatan tersebut julung kali diperkenalkan di luar bandar bagi memberi kemudahan kepada orang ramai yang tidak mempunyai kenderaan sendiri.

Menurutnya, bas henti-henti yang akan memulakan operasi pada Isnin itu melibatkan empat buah bas dengan dua laluan sejauh 20 kilometer (km) iaitu Sungai Siput-Karai dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong-Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Siput.

"Bas ini beroperasi setiap hari untuk manfaat kepada kira-kira 15,000 hingga 20,000 penduduk setempat khususnya pelajar sekolah dan penduduk orang asli di sini.

"Mereka hanya perlu membayar RM1 bagi setiap perjalanan sehala dengan subsidi kerajaan keseluruhannya berjumlah RM450,000," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bas Perak Sejahtera Peringkat Daerah Sungai Siput di Orang Asli One Stop Center, Bawong, di sini pada Ahad.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Zamri Mustajap dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Zulqarnain Mohamad.

Menurut Mohd Zolkafly, kerajaan negeri juga akan memperluaskan perkhidmatan Bas Perak Sejahtera ke beberapa kawasan lain seperti Kamunting dan Chenderiang.

Jelasnya, kawasan-kawasan yang dipilih bagi perkhidmatan bas tersebut berdasarkan permintaan komuniti dan kajian yang dibuat oleh Unit Perancang dan Pelaksanaan Negeri (UPEN) sebelum diluluskan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, penduduk orang asli yang ditemui mengakui perkhidmatan bas tersebut amat gembira kerana setelah sekian lama memerlukan kemudahan pengangkutan awam itu.

Mohd Daud, Alang
Mohd Daud, Alang

Bagi Tok Batin Kampung Beswok Pos Yum, Mohd Daud Anjang, kemudahan tersebut sangat dialu-alukan penduduk kerana selama ini mereka terpaksa pergi sejauh lima km ke Lasah, di sini untuk menaiki bas.

Menurutnya, jika ingin ke pekan Sungai Siput menaiki bas, mereka akan bermalam di Lasah untuk menaiki bas atau terpaksa menumpang kenderaan lain.

"Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan yang bantu penduduk luar bandar seperti kami mendapatkan kemudahan bas ini. Memang dah lama kami tunggu sebab kalau nak pergi pekan agak jauh dan tambang bas sebelum ini RM2.50 sehala dan kami terpaksa bermalam.

"Jadi dengan adanya perkhidmatan Bas Perak Sejahtera ini, tambang pun RM1, sangat memudahkan dan meringankan beban penduduk yang kebanyakannya tiada kenderaan sendiri," katanya.

Tok Batin Pos Yum, Alang Pandak pula berkata, sebarang urusan penduduk untuk mendapatkan keperluan harian serta berkaitan agensi kerajaan dapat dilakukan dengan mudah apabila perkhidmatan tersebut diperkenalkan.

Menurutnya, begitu juga dengan anak-anak orang asli yang lebih selamat untuk ke sekolah setelah Bas Perak Sejahtera diwujudkan oleh kerajaan negeri.