Tiada bukti Omicron mampu bina imuniti kelompok: Khairy

Khairy ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Mengakhiri AIDS melalui kerjasama Pintar ‘GO-NGO’ Model KK 2.0 Peringkat Kebangsaan, di sini pada Ahad.
Khairy ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Mengakhiri AIDS melalui kerjasama Pintar ‘GO-NGO’ Model KK 2.0 Peringkat Kebangsaan, di sini pada Ahad.
A
A
A

KLANG - [DIKEMASKINI] Masih tiada bukti yang mengatakan seseorang itu perlu dijangkiti varian Omicron kerana didakwa mampu membina imuniti kelompok dalam kalangan masyarakat, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau memberi respon tersebut susulan terdapat satu kajian yang dijalankan oleh pakar luar negara terutama di Afrika yang mendakwa varian itu mampu membina imuniti kelompok disebabkan oleh kadar transmisinya yang tinggi.

Memetik laporan The Star pada Khamis, data saintifik yang dikumpulkan dalam tempoh 50 hari selepas varian itu dikesan di Afrika Selatan dan Botswana, Omicron didapati berbeza daripada strain Covid-19 lain kerana ia mempunyai simptom lebih ringan dan kadar kematian yang lebih rendah.

Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, pendekatan itu juga masih belum dibuktikan kesahihannya lagi dan masyarakat diminta untuk tidak sengaja menjangkitkan diri dengan Covid-19, malah menasihati masyarakat untuk terus mendapatkan dos penggalak.

“Tidak kira varian apa. Omicron ke Delta, Alpha dan Beta, jangan sengaja nak dapat Covid-19 sebab yang pertama kita tidak tahu kesan wabak itu sama ada mereka sudah divaksinkan ataupun tidak.

“Yang kedua, kita tidak tahu kesan jangka panjang Covid. Hari ini mungkin kita kata Omicron ini lebih sederhana (Milder) daripada Delta, jadi kenapa tidak semua dijangkiti dengan Omicron?

“Kita dapat imuniti kelompok dan sebagainya. Itu tidak terbukti lagi. Kita tahu Omicron milder, tetapi tidak bermaksud kita perlu dijangkitinya,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Mengakhiri AIDS melalui kerjasama Pintar ‘GO-NGO’ Model KK 2.0 Peringkat Kebangsaan, di sini pada Ahad.

Berhubung dengan peningkatan jangkitan kes harian Covid-19, beliau berkata, pihaknya menjangkakan berlaku peningkatan kes pada bulan Januari dan Februari ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia susulan perayaan Krismas, cuti sekolah, Thaipusam dan Tahun Baru Cina.

“Jangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam tempoh sebulan dua ini, kita akan melihat sedikit peningkatan, tetapi selagi ia tidak menyebabkan kes kemasukan ke hospital naik mendadak, saya rasa ia terkawal.

“Kita lihat Selangor pun masih kekal, tiada peningkatan secara mendadak dari segi kemasukan ke hospital, walaupun setiap hari negeri ini mencatatkan kes harian paling tinggi.

“Dalam hal ini, bukan saya kata kita sudah keluar daripada pandemik, tetapi keadaan terkawal,” katanya.