X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 29 Jun 2022

Kemenangan Mesir hadiah istimewa buat penyokong

Salah merembat gol kemenangan Mesir ketika berdepan Guinea-Bissau pada Ahad. - Foto pix/Rex
A
A

PENGENDALI Mesir, Carlos Queiroz menyifatkan kemenangan 1-0 ke atas Guinea-Bissau pada aksi Kumpulan D Piala Negara-Negara Afrika pada Ahad, sebagai ‘hadiah’ kepada penyokong.

Malah menurut pengendali berbangsa Portugis itu, kemenangan itu juga diharap dapat membina karekter yang kuat dalam kalangan pemain skuad The Pharaohs itu untuk melakar kemenangan pada aksi terakhir peringkat kumpulan berdepan Sudan pada Rabu.

“Kami dedikasikan kemenangan ini yang terhasil daripada segala usaha dan juga pengorbanan kesebelasan pemain Mesir kepada para penyokong.

“Setelah agak muram dalam tempoh beberapa hari susulan kekalahan kepada Nigeria pada aksi pembukaan, kemenangan ini diharap mampu menjadi penawar dan seterusnya menjadikan pemain kembali bersemangat menjelang aksi terakhir berdepan Sudan nanti.

“Lagi pun, kemenangan ini cukup bermakna kerana ia menghidupkan semula peluang Mesir untuk mara ke pusingan seterusnya,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, gol tunggal Mesir dijaringkan oleh penyerang sensasi, Mohamed Salah pada minit ke-69.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Mesir berada pada kedudukan kedua Kumpulan D dengan tiga mata dan perlu mencatatkan kemenangan atau sekurang-kurangnya seri berdepan Sudan sambil mengharapkan Guinea-Bissau tewas kepada Nigeria pada aksi terakhir kelak.

Mengulas aksi berdepan Guinea-Bissau, Queiroz berkata, skuad kendaliannya itu sememangnya berhak memenangi perlawanan berkenaan berdasarkan kepada aksi yang dipersembahkan kesebelasan pemain.

Malah katanya, skuad The Pharaohs itu juga seharusnya menjaringkan lebih banyak gol kerana turut mencipta deretan peluang di sepanjang perlawanan.

“Kami bermula baik dan di sepanjang perlawanan, kami langsung tidak berdepan tekanan.

“Selain itu, kami juga seharusnya menjaringkan lebih banyak gol yang turut menyaksikan tiga percubaan kami terkena tiang gol.

“Oleh itu, kami mengharapkan agar prestasi seperti ini akan dapat diteruskan pada aksi terakhir berdepan Sudan nanti,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!