Sila log masuk terlebih dahulu.

Kedah pastikan projek ikonik beras pulut Langkawi diberi perhatian

Laporan Sinar Harian berhubung kenyataan peserta projek perintis penanaman padi pulut di Langkawi yang mengakibatkan pendapatan mereka merosot.
Laporan Sinar Harian berhubung kenyataan peserta projek perintis penanaman padi pulut di Langkawi yang mengakibatkan pendapatan mereka merosot.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kerajaan Negeri Kedah akan memastikan projek ikonik beras pulut Langkawi yang berdepan kerugian mendapat perhatian sewajarnya bagi memenuhi pasaran sekali gus mengurangkan kebergantungan import bekalan itu.

Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Kedah, Azman Nasrudin berkata, pihaknya akan memastikan projek terbabit diteruskan dan mendapat bantuan sewajarnya daripada kerajaan.

Menurutnya, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang menyelia projek terbabit telah dihubungi dan sedang berusaha memastikan produk penghasilan Pulau Lagenda itu terus berjalan.

"Saya dah hubungi LPP yang menyelia projek terbabit, mereka akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat dan memaklumkan bagaimana untuk pastikan projek padi pulut ini terus berdaya saing dan berjaya.

"Saya juga mohon supaya peserta ini dibantu dan projek ini berterusan,"katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan peserta projek perintis penanaman padi pulut di Langkawi melahirkan kebimbangan apabila hasil pendapatan mereka merosot.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menjalankan siasatan mengapa projek perintis yang dilancarkan pada tahun 2019 membabitkan kira-kira 400 peserta itu berdepan kerugian.

Menurut Mohideen, pihaknya mendapati kawasan sawah yang ditanam padi pulut kering-kontang, sebahagian besar pokok padi mati akibat ketiadaan bekalan air dan saliran dipenuhi semak kerana tidak dibersihkan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap petani diberikan pampasan setimpal selain mahu MAFI mendedahkan hasil siasatan dan tindakan yang diambil bagi menanganinya.