Hasil bedah siasat siap minggu depan

Mohd Yusoff Mahadi - Foto Bernama
Mohd Yusoff Mahadi - Foto Bernama
A
A
A

HASIL bedah siasat Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya laporan prestasi skuad kebangsaan dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, bulan lalu dijangka siap pada minggu depan.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Yusoff Mahadi, pada ketika ini badan yang diketuai bekas pemain kebangsaan yang juga bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Dell Akbar Khan memerlukan sedikit masa bagi menyelesaikan beberapa perkara sebelum melengkapkan laporan penuh siasatan.

Jelas Yusoff, beliau dan beberapa individu yang terlibat telah dipanggil oleh badan siasatan tersebut pada Jumaat bagi memberi keterangan berkenaan skuad Harimau Malaya yang bertanding pada kejohanan dwi tahunan tersebut.

“Semalam saya dan penolong pengurus pasukan kebangsaan baru sahaja dipanggil jawatankuasa bebas ini, untuk ditemu bual. Saya difahamkan terdapat beberapa individu lain termasuk kapten pasukan akan dipanggil bagi proses bedah siasat ini.

“Jadi ini bermakna jawatankuasa tersebut sedang berusaha untuk melengkapkan hasil bedah siasat ini, kita tunggu laporan penuh yang akan dikeluarkan pada minggu depan,” katanya.

FAM sebelum ini menubuhkan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya yang dianggotai individu dari luar badan induk itu bagi mengetuai bedah siasat laporan prestasi skuad kebangsaan di Piala Suzuki AFF 2020.

Hasil laporan itu kemudiannya akan dibentangkan bersama langkah-langkah penambahbaikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM.

Dalam perkembangan lain, Yusoff berkata, badan induk itu tidak mempunyai masalah memberi kebenaran kepada skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara kendalian Brad Maloney untuk menjalani latihan di luar negara sebagai persediaan mengharungi beberapa kejuaraan penting tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, FAM akan memberi kuasa penuh kepada pengendali dari Australia tersebut untuk melakukan persiapan memandangkan beliau lebih arif mengenai perkara terbabit.

“Kita tiada masalah untuk membenarkan pemain B-23 ini untuk melakukan friendly di luar negara tetapi mereka harus faham antara kekangan yang perlu dialami pasukan tersebut antaranya prosedur operasi standard.

“Apa-apa pun terserah kepada Maloney untuk tentukan sama ada dia mahu buat persiapan di dalam atau luar negara sebab mungkin dia lebih tahu mengenai hal ini,” ujarnya.

Sukan Sinar sebelum ini melaporkan skuad B-23 negara disarankan supaya lebih teliti dalam memilih lawan bagi aksi pemanas badan dalam menghadapi beberapa kejohanan besar tahun ini.