Terbuka India: Pengalaman pisahkan Tze Yong, Lakshya Sen

Tze Yong. FOTO: BADMINTON PHOTO
Tze Yong. FOTO: BADMINTON PHOTO
A
A
A

IMPIAN bintang muda perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong untuk menyingkap tirai 2022 dengan kejuaraan Super 500 Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tidak kesampaian.

Pemain berusia 21 tahun itu yang berkedudukan ranking ke-60 dunia akur kepada pengalaman pemain tuan rumah Lakshya Sen, apabila tewas dalam pertarungan di pentas separuh akhir yang berlangsung selama satu jam tujuh minit.

Biarpun begitu pemain dari Johor yang tampil dengan momentum positif setelah menjuarai beberapa kejuaraan pada 2021 sebelum ini terlebih dulu memimpin set pertama dengan 21-19.

Namun Sen yang berstatus ranking ke-17 dunia kembali bangkit menyamakan kedudukan pada set kedua dengan kemenangan 16-21 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum menoktahkan perjalanan Tze Yong, 12-21.

Sementara itu, beregu campuran negara Chen Tang Jie-Peck Yen Wei dipaksa bermandi peluh selama 1 jam 11 minit sebelum menjinakkan pilihan pertama kejuaraan, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing untuk mara ke perlawanan akhir.

Tampil dengan status pilihan ketiga kejuaraan, Tang Jie-Yen Wei berstatus ranking ke-40 dunia yang menang 21-19 pada set pertama, gagal menyaingi pengalaman Kian Meng-Pei Jing pada set kedua apabila mengalah 23-22 sebelum bangkit dalam set penentuan untuk kemenangan 21-14.

Menanti Tang Jie-Yen Wei di pentas final adalah Terry Hee-Tan Wei Han dari Singapura yang meraih kemenangan percuma selepas Rodion Alimov-Alina Davletova dari Rusia menarik diri.

Satu lagi wakil negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut mengakhiri perjuangan pada kempen kali ini selama 30 minit apabila tewas straight set 15-21, 18-21 kepada beregu dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Artikel Berkaitan: