Azam Baki tiada pilihan kecuali bercuti: PH

Azam Baki- Foto Bernama
Azam Baki- Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) berpandangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki kini tiada pilihan lagi kecuali bercuti sehingga selesai kesemua siasatan terhadapnya.

Majlis Setiausaha PH berkata, sekiranya Azam enggan, mereka menggesa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendengar pandangan kesemua pihak yang telah menyuarakan pandangan tentang isu ini termasuk dari kalangan pemimpin kerajaan dan mengambil tindakan tegas merehatkannya.

“Kami turut mengingatkan bahawa isu utama di sini ialah tatakelola dan urus tadbir SPRM dan siasatan penuh wajar dilakukan bukan sahaja terhadap Azam tetapi semua Ketua Pesuruhjaya yang pernah berkhidmat sebelum ini.

“Oleh demikian, Perdana Menteri harus berhenti dari melindungi atau membela Azam secara langsung atau tidak kerana Azam telah bertukar dari penguatkuasa undang-undang anti rasuah kepada seorang pelanggar undang-undang,” dakwa mereka dalam satu kenyataan bersama pada Sabtu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Hatta Ramli, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke Siew Fook dan Setiausaha Agung UPKO, Nelson Anggang.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Rais Yatim pada Jumaat menasihatkan Azam agar bercuti sementara ketika kes beliau disiasat pihak berkuasa.

Mengulas lanjut, Majlis Setiausaha PH berkata, kenyataan Rais juga sekaligus mematahkan hujah Azam untuk ‘membersihkan’ nama dengan cuba memperalat institusi Yang di-Pertuan Agong apabila berkata perkhidmatannya hanya boleh ditamatkan oleh Tuanku.

“Perbuatan Azam amat tidak bertanggungjawab kerana cuba mengheret institusi Agong ke dalam masalah dan kemungkinan kesalahan yang dilakukannya.

Artikel Berkaitan:

“Azam patut tahu lantikan oleh Tuanku tidak memberikan sebarang kekebalan undang-undang daripada kesalahan yang dilakukan,” jelas mereka.

Majlis Setiausaha PH turut menerima baik gesaan pelbagai pihak agar reformasi dan rombakan menyeluruh dibuat terhadap SPRM bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi penting ini.

Kata mereka, ia termasuklah dengan meletakkan SPRM di bawah Parlimen dan bukan di bawah Perdana Menteri seperti sekarang agar ia boleh menjalankan tugasnya dengan bebas, berperlembagaan dan profesional.