Datuk remaja curi tabung masjid tak perlukan duit beli ubat

Remaja yang ditangkap mencuri duit tabung masjid pada 8 Januari lalu dimandikan seperti jenazah.
Remaja yang ditangkap mencuri duit tabung masjid pada 8 Januari lalu dimandikan seperti jenazah.
A
A
A

KUANG - Datuk kepada remaja yang mencuri tabung masjid dan dimandikan seperti jenazah tidak memerlukan wang untuk membeli ubat penyakit kencing manis seperti didakwa.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi kemas kini di Facebooknya memaklumkan, perkara itu disahkan sendiri oleh warga emas berkenaan, Rosli Sidek, 65, sewaktu dikunjungi wakil LZS Gombak pada Jumaat.

Menurut perkongsian itu, LZS mengambil inisiatif melawat Rosli bagi mendapatkan gambaran sebenar susulan penularan video tular melibatkan Daniel Iskandar, 19, yang didakwa membuat tindakan jenayah itu kerana ingin membeli ubat untuknya.

"Kami menziarahinya semalam bagi mendapatkan pengesahan sama ada beliau memerlukan bantuan perubatan untuk penyakit kencing manisnya.

"Pak Rosli mengesahkan yang beliau tidak memerlukannya sebagaimana yang dilaporkan, " katanya menerusi kemas kini Facebook pada Sabtu.

LZS berkata, Rosli merupakan salah seorang asnaf di Kuang yang dibantu oleh agensi itu sejak 2019.

"Selain berkongsi masalah cucu, Rosli turut memaklumkan isterinya baharu meninggal dunia pada November 2021.

" Anaknya pula iaitu ibu remaja tersebut kini tinggal bersamanya dan diuji hilang punca pendapatan kerana kehilangan pekerjaan ketika PKP," tambah kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, LZS Daerah Gombak telah membuat bancian semula kerana berlaku pertambahan tanggungan keluarga berkenaan.

"Bantuan makanan bulanan akan disalurkan kepada Rosli sekeluarga.

"Pak Rosli turut berterima kasih kepada pengeluar zakat kerana beliau bersyukur atas bantuan zakat yang diterimanya setiap bulan," ujar kenyataan itu.