3,074 kes baharu, menurun berbanding Jumaat

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Kes harian jangkitan Covid-19 merekodkan penurunan apabila 3,074 kes dilaporkan pada Sabtu berbanding 3,346 pada Jumaat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menjadikan kumulatif kes sebanyak 2,805,337 kes.

Menurutnya, Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan 837 kes diikuti Johor (419), Kuala Lumpur (276), Sabah (265), Kedah (209) dan Pulau Pinang (200).

Manakala Kelantan dan Pahang masing-masing merekodkan 195 kes diikuti Melaka (154), Perak (120) Negeri Sembilan (111), Terengganu (57) Labuan (15), Sarawak (13), Putrajaya (5) dan Perlis (3).

Beliau berkata, daripada jumlah baharu yang dilaporkan, sebanyak 319 merupakan kes import membabitkan 216 rakyat tempatan dan 103 warga asing.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 30 kes adalah kategori tiga hingga lima.

"Selebihnya, 3,044 kes lagi merupakan kategori satu dan dua," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, terdapat 193 kes ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 90 pesakit memerlukan bantuan pernafasan," ujarnya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan 2,828 kes sembuh dengan jumlah keseluruhannya, 2,732,771 kes.

"Terdapat pertambahan 10 kluster baharu menjadikannya, 6,205 kluster," katanya.

Daripada jumlah itu, Dr Noor Hisham berkata, 6,029 kluster telah diisytiharkan tamat manakala 176 masih aktif.

Sementara itu, tambah beliau, kadar kebolehjangkitan (Rt) negara kekal kepada nilai 1.0.

Bagaimanapun terdapat enam negeri dan wilayah melepasi nilai Rt 1.0.

Ia membabitkan Kuala Lumpur (1.08), Putrajaya (1.06), Sabah (1.05), Melaka (1.02), Negeri Sembilan (1.01) dan Selangor (1.0)

“Negeri-negeri lain mencatatkan nilai RT di bawah 1.0,” katanya.