PBT diminta beri 'moratorium' jangan saman usahawan: Noh

Noh (belakang dua dari kanan) pada Majlis Dialog Usahawan bersama Menteri Usahawan dan Koperasi di Pusat Latihan Kejenteraan Pertanian Tanjong Karang di sini pada Sabtu.
Noh (belakang dua dari kanan) pada Majlis Dialog Usahawan bersama Menteri Usahawan dan Koperasi di Pusat Latihan Kejenteraan Pertanian Tanjong Karang di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara memberikan 'moratorium' dengan tidak mengambil tindakan saman terhadap usahawan yang baharu sahaja pulih daripada pandemik Covid-19 dan banjir.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, dalam keadaan sukar ketika ini, PBT seharusnya menangguhkan dahulu sebarang tindakan yang membebankan rakyat.

"Saya meminta PBT seluruh negara berilah moratorium dengan tidak mengambil tindakan saman menyaman (terhadap usahawan) ini.

"Jika ada mana-mana usahawan berniaga yang tidak ikut peraturan, saya harap beri amaran dan nasihat terlebih dahulu, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Dialog Usahawan bersama Menteri Usahawan dan Koperasi di Pusat Latihan Kejenteraan Pertanian Tanjong Karang di sini pada Sabtu.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, PBT juga diminta memudahkan urusan usahawan mendapatkan lesen perniagaan.

Mengambil contoh di kementeriannya, Noh berkata, terdapat pelbagai kaedah bantuan kepada usahawan seperti Skim Pembiayaan Informal (SPIN) di bawah Tekun Nasional (Tekun) yang membantu usahawan.

"SPIN ini kita beri pinjaman maksimum RM10,000 untuk membantu usahawan termasuk tiada lesen.

Artikel Berkaitan:

"Kita hendak tolong semua usahawan, bayangkan kita beri RM5,000 tiba tiba (usahawan) kena saman, malah saya difahamkan ada usahawan sampai 10 kali kena saman oleh PBT," ujarnya.

Katanya, niat MEDAC hanya hendak membantu usahawan walaupun mereka tiada lesen tetapi memberi peluang mereka berniaga.

"Semangat ini perlu ada dalam kalangan PBT seluruh negara supaya jangan saman menyaman ini," katanya.