Banjir di Tangkak pulih

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir Penolong Penguasa Bomba Mohd Farizan Mokhtar (depan) melakukan pemantauan di kawasan yang terjejas banjir di Kampung Kurnia pada 9 Januari lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir Penolong Penguasa Bomba Mohd Farizan Mokhtar (depan) melakukan pemantauan di kawasan yang terjejas banjir di Kampung Kurnia pada 9 Januari lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keadaan banjir di negeri ini semakin pulih, dan jumlah mangsa banjir berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sehingga jam 4 petang ini turun kepada 77 berbanding 95 orang pagi Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata, hanya daerah Segamat sahaja masih terjejas dengan banjir ketika ini dan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di daerah itu.

Beliau berkata, daerah Tangkak pulih sepenuhnya apabila PPS terakhir di daerah itu Sekolah Kebangsaan Durian Chondong ditutup pada kira-kira jam 3 petang tadi dan cuaca di seluruh negeri kini dilaporkan cerah termasuk di daerah terjejas banjir.

"Bagaimanapun, penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Bekok, Empangan Bekok di Batu Pahat yang kekal berada pada tahap waspada, diingatkan agar sentiasa berjaga-jaga,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu banjir di daerah Segamat dijangka pulih sepenuhnya dalam masa dua hingga tiga hari lagi, menurut Pegawai Daerahnya Hasrin Kamal Hashim.

Katanya, daerah Segamat merupakan yang paling teruk terjejas banjir di Johor, menyebabkan 4,161 orang daripada 1,095 keluarga dipindahkan ke 68 PPS sejak 31 Disember lepas namun setakat jam 12 tengah hari Sabtu terdapat hanya 77 mangsa daripada 24 keluarga ditempatkan di PPS di Sekolah Agama (SA) Gemereh dan Balai Raya Gemereh 4.

"Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) Daerah Segamat akan membuat penilaian dalam masa terdekat, sebelum penutupan sepenuhnya PPS dilakukan. Keadaan sudah 98 peratus pulih,” katanya kepada pemberita mengenai status terkini bencana banjir di daerah itu di Majlis Perbandaran Segamat (MPS) pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Hasrin berkata, pihaknya menerima 118 permohonan bagi melakukan kerja-kerja bantuan pembersihan pascabanjir daripada sukarelawan agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik, institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan orang persendirian.

"Setakat ini, semua permohonan diluluskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Dan Bencana Daerah Segamat dan setiap sukarelawan perlu mematuhi syarat yang ditetapkan,” kata beliau.