Liga M3: Pasukan 'pajak lesen' jurulatih berdepan tindakan

Yusoff Mahadi
Yusoff Mahadi
A
A
A

PETALING JAYA - Pengerusi Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi memberi amaran kepada pasukan Liga M3 untuk menjauhi perbuatan ‘pajak lesen’ jurulatih ketika saingan divisyen ketiga itu bakal bermula 11 Februari depan.

Beliau berkata, tindakan keras boleh dikenakan ke atas mana-mana pasukan yang didapati bersalah meminjam lesen daripada jurulatih tempatan untuk melepasi syarat penyertaan, tetapi pasukan itu dilatih oleh individu lain.

Menurutnya, jika terdapat kes yang dibuktikan, ia akan dibawa ke Ahli Lembaga Pengarah AFL untuk memutuskan tindakan sesuai, selain merujuk kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menyelaraskan tindakan tersebut.

"Kita bersama dengan MFL dan FAM untuk elak perkara ini daripada berlaku dalam AFL. Jadi saya berharap pasukan-pasukan bertanding akan mengikut peraturan ditetapkan, maknanya hanya jurulatih tempatan yang berlesen A sahaja boleh menjadi ketua jurulatih dalam pasukan Liga M3 ini.

"Kita di AFL akan ikut peraturan ditetapkan oleh FAM ataupun MFL, maknanya kalau ada jurulatih yang sekadar menyandarkan (meminjamkan) lesen kepada pasukan, memang kita akan ambil tindakan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis undian Liga M3 di sini, pada Sabtu.

Difahamkan, ada pasukan Liga M3 yang cuba memajak lesen jurulatih tempatan kepada individu dari luar negara, untuk mengaburi peraturan yang ditetapkan AFL.

AFL kekal dengan pendirian tidak membenarkan penggunaan khidmat pemain mahupun jurulatih import bagi Liga M3, namun Mohd Yusoff tidak menolak kemungkinan pemain import dibenarkan beraksi pada masa akan datang.

Sementara itu, Mohd Yusoff turut mengumumkan wang hadiah kemenangan bagi juara Liga M3 musim ini dinaikkan kepada RM100,000 berbanding RM30,000 sebelum ini, manakala naib juara akan membawa pulang RM50,000 selepas saingan itu dibatalkan buat dua tahun berturut-turut berikutan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Majlis undian pada Sabtu menyaksikan Kumpulan A dibarisi kelab bola sepak (FC) Sains, Malaysia University, Langkawi, Kinabalu Jaguar, Imigresen, Manjung City, Ultimate, Tun Razak City, Langkawi City dan Armed Forces.

Kumpulan B pula terdiri daripada Perlis United, Tok Janggut Warriors, Harini KS, Kijang Rangers, BRM, Respect, Kuala Lumpur Rovers, Bukit Tambun, PIB dan Real Chukai.

Mengikut format pertandingan, hanya empat pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke suku akhir selepas peringkat kumpulan yang dilangsungkan secara dua pusingan, dengan final dijadualkan pada 3 September.

- Bernama