Rimau Muda kena lebih selektif pilih lawan

Skuad B-23 ketika kempen kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Ulaanbaatar, Mongolia tahun lalu.
Skuad B-23 ketika kempen kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Ulaanbaatar, Mongolia tahun lalu.
A
A
A

SKUAD Bawah 23 (B-23) negara disarankan supaya lebih teliti dalam memilih lawan bagi aksi pemanas badan dalam menghadapi beberapa kejohanan besar tahun ini.

Perkara itu ditegaskan jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah yang melihat perlawanan persahabatan sangat penting sebagai medan buat jurulatih untuk mencari keserasian dan gandingan untuk digunakan sebagai ‘senjata’ yang ampuh.

Justeru beliau berkata, lawan untuk aksi pemanas badan buat skuad kendalian Brad Maloney itu perlulah sama kuat dan setaraf dengan kualiti yang dimiliki pasukan negara supaya impak positif dapat dijelmakan.

“Kita perlu cari lawan yang sama kuat atau mungkin pasukan itu dia kuat sedikit daripada pasukan negara.

“Sebab apabila terlalu lemah, pasukan negara akan susah berkembang dan apabila jumpa pasukan yang terlalu kuat dan kalah sepanjang aksi pemanas badan juga tidak baik kerana dia akan memberi kesan kepada motivasi pemain.

“Mungkin kita boleh lawan jiran-jiran terdekat seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam. Sebab apa yang penting dari perlawanan pemanas badan ini ialah kita nak cari keserasian di antara pemain selain kombinasi serangan yang mampu membantu pasukan negara pada kejohanan yang disertai mereka,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Terdahulu Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar mengesahkan skuad B-23 negara akan diberi peluang menggantikan pasukan senior dalam perlawanan persahabatan antarabangsa bulan ini.

Jelasnya, keputusan tersebut diambil berikutan kekangan membabitkan ketiadaan jurulatih pasukan senior selain pemain-pemain terlibat perlu bersama kelab masing-masing untuk persediaan mengharungi Liga Malaysia yang akan membuka tirai hujung Februari depan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Azraii berkata, selain aspek pemilihan lawan untuk aksi pemanas badan, FAM perlu memikirkan cara untuk memastikan kesemua pemain-pemain yang diinginkan Maloney dapat menyertai kem latihan pusat apabila dipanggil kelak.

Jelasnya, kebimbangan beliau ketika ini adalah pemain yang akan dipanggil nanti tidak dapat menyertai pasukan negara kerana mempunyai komitmen bersama kelab masing-masing.

“Apa yang saya bimbang ketika ini, adalah pemain-pemain yang akan dipanggil nanti tidak dapat menyertai pasukan kebangsaan kerana ketika itu liga masih tengah berjalan selain sekarang ada di antara mereka sedang melakukan persiapan pra musim.

“Jadi saya harap FAM dapat selesaikan isu ini sebab sudah tentu ia akan menjejaskan persiapan pasukan kebangsaan.

“Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali iaitu situasi yang pernah berlaku kepada Cheng Hoe di mana dia tidak dapat bawa pemain yang dia mahukan pada Piala Suzuki AFF 2020 sebelum ini,” katanya.