X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Amer mahu tembusi skuad utama Kedah

Amer mahu tembusi skuad utama Kedah.
A
A

PEMAIN sayap baharu Kedah Darul Aman FC, Mohammad Amer Azahar mahu menjadi watak penting dalam membantu pasukan itu mengharungi saingan Liga Super 2022 meskipun menyedari ia bukan satu tugas untuk menembusi kesebelasan utama.

Menurut Amer, dia tidak menolak keterujaan untuk mempertaruhkan aksi bersama pasukan yang dianggap antara pencabar hebat di pentas Liga Super sambil mengharapkan kehadirannya mampu memberi impak kepada skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu.

Bagaimanapun pemain berusia 27 tahun itu berkata, dia perlu bekerja keras seandainya ingin diletakkan sandaran utama apabila bakal bersaing hebat dengan pemain lain di posisi sama seperti Syazwan Zainon, Fayadh Zulkifli dan Al Hafiz Harun.

“Pertama sekali misi utama saya di sini adalah untuk bersaing sebaik mungkin agar dapat berada dalam kesebelasan utama sebanyak mungkin sebab kita tahu Kedah juga ramai pemain berpengalaman lain.

“Tetapi, saya tidak anggap ia satu masalah besar sebaliknya akan jadi cabaran untuk saya lebih bekerja keras mendapat tempat.

“Bagi saya, semua pemain ada watak masing-masing, dan insya-Allah apabila saya diberi peluang, saya akan beri yang terbaik dan berharap dengan kudrat yang ada dapat membantu pasukan semampu mungkin,” katanya.

Dalam masa sama, pemain yang telah beraksi selama dua musim bersama Penang FC itu, menyifatkan peluang beraksi di pentas Piala AFC 2022 menjadi faktor utama dia berhijrah ke Kedah.

Bagi Amer, penghijrahan ini adalah tepat demi perjalanan karier yang semakin meningkat selepas memulakan karier bersama UiTM FC dahulu.

“Benar, Piala AFC adalah sebab utama kenapa saya ingin bersama Kedah pada musim ini kerana ia akan menjadi pengalaman yang mahal untuk saya.

“Saya juga belum pernah lagi berpeluang untuk beraksi di tahap tertinggi seperti itu dan saya tahu peluang ini bukan mudah untuk kita dapat.

“Dan sekarang adalah masa untuk saya cuba buktikan kemampuan diri agar dapat bantu Kedah bukan sahaja di Liga Super, tetapi di Piala AFC juga”, ujarnya.

Selain Amer dan Al Hafiz, dua lagi bekas pemain Penang FC yang turut berhijrah ke Kedah adalah Azmeer Aris dan Khairu Azrin Khazali.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!