Hakim silap pindah kes Najib kembali ke mahkamahnya

Najib - Foto Bernama
Najib - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Hakim Mahkamah Tinggi membuat kesilapan apabila memindahkan kes yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan dana SRC International Sdn Bhd, kembali ke mahkamahnya atas inisiatifnya sendiri, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.

Peguam bekas Perdana Menteri itu, Harvinderjit Singh berkata dengan berbuat demikian, hakim Mahkamah Tinggi berkenaan telah merampas kuasa yang secara eksklusif diberi kepada Hakim Besar Malaya untuk mengagihkan kes dalam kalangan Hakim Mahkamah Tinggi Malaya.

Peguam berkata, ia merupakan permohonan ‘pintu belakang’ oleh pendakwa raya yang mencadangkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi supaya bertindak "suo motu" (dalam usulnya) mengikut Seksyen 417 (2) Kanun Prosedur Jenayah (KAJ) bagi memindahkan kembali kes Najib ke mahkamahnya.

Beliau berkata, prosedur yang wajar digunakan ialah dengan melepaskan tanpa membebaskan Najib terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan dan mendakwanya semula di Mahkamah Sesyen.

“Ia perlu melalui pendaftaran (mahkamah). Pengagihan kes di bawah bidang kuasa Hakim Besar Malaya. Pendaftar bertindak atas arahan dan ketetapan yang dibuat oleh Hakim Besar Malaya," hujah beliau dalam rayuan Najib berhubung kes SRC International.

Semasa Harvinderjit Singh sedang berhujah, Najib telah keluar dari mahkamah untuk ke tandas tanpa memaklumkan sesiapa, menyebabkan prosiding ditangguhkan sebentar.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Zabariah Mohd Yusof, yang mempengerusikan sidang panel tiga hakim itu menyedari ketiadaan Najib dan kemudiannya mengarahkan prosiding ditangguhkan.

Beberapa minit kemudian, apabila prosiding mahkamah disambung semula, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon maaf kepada mahkamah dan memaklumkan yang anak guamnya (Najib) tidak berhasrat mengganggu prosiding.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mereka telah memaklumkan kepada Najib bahawa beliau boleh memohon untuk ke keluar ke tandas.

Semasa prosiding rayuan itu, Harvinderjit Singh juga berhujah bahawa tiada peruntukan di bawah KAJ yang memberi kuasa kepada Peguam Negara untuk memindahkan kes dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Sesyen.

Pada 7 Februari lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan Peguam Negara Tommy Thomas untuk menarik balik sijil untuk memindahkan tujuh pertuduhan Najib dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Hakim kemudiannya, menggunakan budi bicaranya di bawah Seksyen 417 (2) KAJ untuk memindahkan tuduhan dari Mahkamah Sesyen kepadanya.

Terdahulu, Muhammad Shafee berhujah tidak pernah hakim Mahkamah Tinggi memindahkan kes kembali kepadanya atas inisiatif sendiri.

Beliau berkata, selepas menarik balik sijil pemindahan itu, pendakwa raya telah memohon hakim Mahkamah Tinggi supaya melaksanakan kuasanya mengikut Seksyen 417 (2) KAJ untuk memindahkan kembali kes itu kepadanya.

Muhammad Shafee kemudiannya memohon mahkamah supaya membenarkan rayuan anak guamnya untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu dan suatu perintah bagi perkara itu dihantar balik untuk perbicaraan semula di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang lain.

Panel hakim yang terdiri daripada Zabariah, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Lau Bee Lan menetapkan Isnin ini untuk menyambung pendengaran rayuan.

Najib, 66, Ahli Parlimen Pekan, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta. Beliau juga didakwa dengan tiga lagi tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama dari dana yang sama.

Di luar mahkamah, Muhammad Shafee memberitahu pemberita bahawa Najib hanya ke tandas.

"Beliau (Najib) mahu tertib kepada mahkamah. Anda perlu tahu hasratnya. Beliau bukan peguam. Beliau fikir beliau bertindak sopan dengan secara senyap meninggalkan kamar mahkamah untuk ke tandas dan kemudiannya balik semua tanpa mengganggu prosiding.

"Najib tidak tahu yang beliau tidak boleh keluar (mahkamah) walau seminit. Sekarang beliau sudah tahu, beliau boleh memohon," katanya.

Semasa menjawab soalan media mengenai kenapa beliau boleh menghadiri kes yang berasingan di Shah Alam pada pagi Selasa sebelum memohon penangguhan kepada Mahkamah Rayuan kemudiannya pada hari yang sama, Muhammad Shafee berkata kesakitan di pergelangan tangan kirinya menjadi semakin tidak tertahan.

Muhammad Shafee memohon penangguhan perbicaraan rayuan Najib pada Selasa kerana memerlukan rawatan perubatan pergelangan tangan kirinya yang cedera setelah terjatuh apabila anjingnya melompat kepadanya.

Beliau memberitahu pemberita, tangannya semakin baik hari ini. - Bernama