Abdul Hamid Bador pangku timbalan KPN

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim (kiri) bersalaman dengan Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador (kanan) sambil disaksikan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada majlis serah terima tugas di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dilantik memangku jawatan Timbalan Ketua Polis Negara.

Pengumuman itu dibuat pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis di sini, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, yang membuat pengumuman itu pada majlis berkenaan berkata, Abdul Hamid akan memangku sebagai Timbalan Ketua Polis Negara sehingga satu keputusan rasmi dibuat oleh kerajaan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim akan bersara secara rasmi Ahad ini dari pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) selepas 35 tahun berbakti dalam pasukan itu.

Beliau, yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada Disember 2014 sebelum ini, dan tugasnya disambung secara kontrak selama setahun.

Noor Rashid berkata, beliau akan berehat sebelum mula menulis mengenai pasukan beruniform itu selepas bergelar pesara.

“Saya sedih nak tinggalkan pegawai-pegawai yang bersama ketika susah dan senang tetapi saya gembira untuk kembali ke pangkuan keluarga. My advice is be strong and sincere (Nasihat saya jadilah tabah dan jujur), saya mahu kamu (anggota PDRM) semua dihormati masyarakat.

“Selamat tinggal dan terima kasih semua,” katanya dengan sebak ketika menyampaikan ucapan pada majlis itu.

Noor Rashid, 61, yang berasal dari Yan, Kedah memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dari Universiti Malaya, memulakan perkhidmatan bersama PDRM sebagai Penolong Penguasa Polis (ASP).

Beliau mula berkhidmat sejak Januari 1984 dan antara jawatan yang pernah disandang adalah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Timur Laut, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah; Pulau Pinang, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Pesuruhjaya Polis Sabah dan Pengarah JSJN.

Jawatan Noor Rashid akan dipangku oleh Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata Abdul Hamid akan memangku jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara sehingga keputusan rasmi dibuat oleh kerajaan.

Menceritakan pengalamannya sepanjang bertugas bersama Noor Rashid, beliau berkata rakannya itu seorang pemimpin yang sangat tegas dan lantang dalam melaksanakan tugasnya.

“Noor Rashid adalah `squadmate' saya yang mana daripada keseluruhan 32, kini berbaki hanya tujuh orang dalam pasukan. Beliau pegawai ke-26 dalam skuad kami yang bersara, meninggalkan enam orang yang masih berkhidmat.

“Saya secara peribadi mahu beliau jadi Ketua Polis Negara, tetapi takdir Allah menentukan segala-galanya, keadaan berubah... walaupun berubah Noor Rashid sentiasa ada bagi sokongan padu dan tidak berbelah bagi dan kami sentiasa bekerjasama,” katanya. - Bernama