X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Henti sebar video mandikan remaja

Mohd Zawawi
A
A

SHAH ALAM - Masyarakat diharap menghentikan penyebaran video mengenai seorang imam dan sekumpulan jemaah sebuah masjid di Selangor yang bertindak memandikan seorang remaja seperti ‘jenazah’ kerana cuba mencuri tabung masjid, dalam media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, penyebaran video tersebut tidak membawa sebarang kebaikan kepada kedua-dua pihak, malah mengundang kutukan daripada masyarakat dengan pelbagai komen negatif.

“Selain menjatuhkan maruah remaja terlibat, ia juga turut memberikan persepsi buruk tentang sikap pengurusan institusi masjid,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Zawawi berkata, tindakan sewajarnya telah diambil oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selaku agensi kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan institusi masjid di negeri itu sebaik sahaja mendapat maklumat yang betul tentang perkara tersebut.

“Saya difahamkan imam yang terlibat telah mengambil tindakan meletakkan jawatan dan JAIS sedang meneliti perkara ini untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat khasnya umat Islam di Selangor, supaya bertenang dan tidak mengambil pendekatan agresif dalam menangani apa-apa isu dan kes yang melibatkan institusi Islam.

“Biarlah pihak berkuasa melaksanakan tugas mereka mengikut lunas undang-undang, manakala masyarakat setia membantu pihak berkuasa untuk menyempurnakan tugas dan bukannya mengambil alih tugas pihak berkuasa,” katanya.

Media melaporkan seorang remaja yang videonya tular dalam media sosial kerana dimandikan seperti 'jenazah' akibat cuba mencuri tabung masjid, dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang, dekat sini semalam.

Video berdurasi satu minit 25 saat itu memaparkan tindakan jemaah masjid memandikan lelaki itu seperti jenazah serta dia dilumurkan dengan kapur barus selepas ditangkap kerana perbuatannya itu. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!