ADUN positif dadah: DAP Perak tunggu kenyataan rasmi polis

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - DAP Perak enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan penahanan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu bersabit kes positif dadah pada Khamis.

Naib Pengerusi DAP negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata, adalah tidak wajar untuk memberi ulasan memandangkan pihak berkuasa sendiri tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan individu yang terlibat.

Menurutnya, setakat ini DAP sendiri masih belum mendapat sebarang laporan lanjut berhubung perkara berkenaan.

"Saya tidak mahu menafi atau mengesahkan kerana saya sendiri tidak ada maklumat tepat berkaitan kes itu, saya pun hanya dengar-dengar begitu sahaja.

"Jadi saya rasa lebih baik tunggu kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Laporan sebelum ini menyebut, seorang ADUN Perak ditahan bersama 35 individu lain selepas ujian saringan air kencing mereka positif dadah.

Wakil rakyat berusia 50-an itu ditahan di sebuah restoran yang dahulunya merupakan kelab malam di Perai, Pulau Pinang pada jam 9 malam, Khamis.

Difahamkan ADUN Perak yang dimaksudkan adalah daripada DAP.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming memaklumkan, ulasan berkaitan kes itu akan diberikan sebaik polis mendedahkan identiti ADUN yang ditahan.

"Tunggu sehingga polis dedahkan identiti ADUN itu, baru saya akan komen," katanya ringkas kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program pelancaran buku 'Lim Kit Siang: Malaysian First, Volume One: None But The Bold di Symphony Suites di sini pada Jumaat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, DAP menang 16 kerusi Dewan Undangan Negeri Perak, bagaimanapun tiga daripada mereka telah mengumumkan keluar parti menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) baru-baru ini.