AADK sedia bantu rawat remaja curi tabung masjid

Remaja yang videonya tular dalam media sosial kerana dimandikan seperti 'jenazah' akibat cuba mencuri tabung masjid dihukum penjara 10 hari dan didenda RM4,000.
Remaja yang videonya tular dalam media sosial kerana dimandikan seperti 'jenazah' akibat cuba mencuri tabung masjid dihukum penjara 10 hari dan didenda RM4,000.
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyatakan kesediaannya untuk membantu merawat pulih remaja lelaki yang ditangkap baru-baru ini selepas cuba mencuri tabung di sebuah masjid di Rawang Selangor pada 8 Januari lalu.

Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon berkata, pihaknya bersedia untuk merawat pulih mana-mana pihak terjebak dengan penagihan dadah atau bahan seumpamanya termasuk remaja tersebut yang didakwa terlibat dengan masalah pengambilan bahan terlarang itu.

“Sehubungan itu, di AADK perkhidmatan rawatan dan pemulihan disediakan menerusi fasiliti sama ada melalui Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), perkhidmatan di daerah, Pusat Khidmat AADK dan Rumah Komuniti AADK.

“Ini termasuklah perkhidmatan rawatan dan pemulihan di Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP) yang berdaftar dengan AADK.

“Selain itu, AADK turut menyediakan perkhidmatan secara sukarela menerusi Puspen atau program pemulihan dalam komuniti yang tidak memerlukan klien berada dalam Puspen,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan bahawa siasatan polis mendapati tindakan remaja berusia 19 tahun itu cuba mencuri tabung masjid adalah untuk membeli dadah.

Polis turut menyatakan bahawa remaja tersebut turut dikesan terlibat dengan penyalahgunaan dadah sejak kira-kira setahun lalu.

Dalam pada itu, Sutekno menyatakan bahawa semua kemudahan disediakan AADK itu adalah terbuka kepada warganegara yang terjebak dengan masalah penagihan dadah yang ingin mendapatkan rawatan sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata, AADK berpendapat agensi yang berkaitan juga perlu digerakkan bagi memastikan masalah sosial dan ekonomi remaja terbabit dapat diselesaikan pada kadar segera agar masalah sama tidak berulang.

“Justeru, ia memerlukan tindakan secara holistik daripada semua pihak berwajib,” ujarnya.

Pada Khamis, remaja yang videonya tular dalam media sosial kerana dimandikan seperti 'jenazah' akibat cuba mencuri tabung masjid itu dikenakan penjara 10 hari dan didenda RM4,000.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu terhadap Daniel Iskandar, 19, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara 10 hari itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada Ahad lalu.

Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda tersebut dia boleh dipenjara selama lima bulan.