Pangsapuri jadi sarang perjudian dalam talian diserbu

Serbuan dijalankan di sebuah premis di Sentul, Kuala Lumpur dipercayai menjalankan kegiatan perjudian dalam talian pada Khamis.
Serbuan dijalankan di sebuah premis di Sentul, Kuala Lumpur dipercayai menjalankan kegiatan perjudian dalam talian pada Khamis.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Aktiviti mencurigakan di sebuah unit kediaman di sebuah pangsapuri di Sentul, di sini terungkai apabila serbuan yang dilakukan pada Khamis mendapati premis berkenaan menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota polis daripada Cawangan Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

"Tiga individu warga tempatan diberkas dalam serbuan premis dipercayai menjadi sarang perjudian dalam talian tersebut.

"Ketiga-tiga suspek yang diberkas berumur antara 19 tahun hingga 54 tahun itu dipercayai merupakan penjaga premis serta ejen perjudian dalam talian tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, premis tersebut dipercayai telah beroperasi sejak sebulan yang lepas.

"Siasatan mendapati kegiatan ini berselindung di sebalik pangsapuri persendirian yang disewa dengan kadar RM1,800 sebulan.

"Kegiatan ini berjaya meraih keuntungan anggaran RM100,000 sebulan," katanya.

Menurutnya, serbuan yang dijalankan turut berjaya merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan ini.

"Antara yang dirampas ialah komputer dan telefon bimbit pelbagai jenama, modem komputer, serta beberapa rangkai kunci rumah bersama kad akses.
Artikel Berkaitan:


"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.