Bekalan air bersih: Penduduk Felda Chini lega

Wan Rosdy melihat seorang nelayan, Mohammad Kamal Abdul,58 menjahit pukat ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama nelayan Beserah Kuantan.
Wan Rosdy melihat seorang nelayan, Mohammad Kamal Abdul,58 menjahit pukat ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama nelayan Beserah Kuantan.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 14 lori tangki air milik syarikat operator air di negeri ini dihantar bagi melaksanakan misi bantuan bekalan air sekali gus melegakan penduduk yang terjejas di Felda Gugusan Chini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, walaupun paras air sungai di Felda tersebut tidak mengalami paras kritikal namun pihaknya memberi bantuan tersebut bagi memastikan rakyat dapat menikmati bekalan air bersih.

Menurutnya, usaha yang digerakkan melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) telah menyelaras 14 lori tangki dari setiap daerah di negeri ini dengan matlamat mampu mengurangkan krisis air yang meruncing itu.

"Kerajaan negeri melalui Paip, kita telah memastikan semua lori tangki air yang ada di Pahang di bawa ke sini bagi memastikan setiap rumah mendapat bekalan air.

"Saya sendiri pun sudah meninjau Loji Rawatan Air Chini d (LRA) dua hari lalu dan paras air di loji berkenaan adalah 1.68 meter... maknanya, ia masih belum mencatatkan paras kritikal iaitu 0.68 meter.

"Kerajaan negeri juga tidak dapat berbuat apa-apa mengenai isu ini disebabkan cuaca yang panas menyebabkan paras air sungai terlalu surut," katanya pada majlis ramah mesra bersama nelayan Berserah Kuantan di sini, hari ini.

Turut hadir sama, Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak dan ADUN Beserah, Andansura Rabu.

Wan Rosdy berkata, pihaknya juga bersedia untuk menambah bilangan lori tangki air jika lori yang sedia ada tidak cukup menampung bekalan buat penduduk Felda Gugusan Chini.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah pergi ke Chini berjumpa dengan penduduk dan rata-rata mereka bersyukur kerana kerajaan negeri telah menghantar bantuan air kepada mereka," katanya

Dalam pada itu, menurutnya, krisis bekalan air bersih yang dihadapi penduduk di Gugusan Chini boleh diselesaikan jika Pusat meluluskan peruntukan RM12 juta yang diumumkan BN sebelum PRU14 lalu.

"Peruntukan berkenaan diumumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melawat LRA Chini, Mei tahun lalu.

''Jika Pusat boleh segerakan kelulusan peruntukan ini, saya yakin masalah gangguan bekalan air yang dihadapi penduduk di Gugusan Felda Chini boleh diselesaikan.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri memerlukan peruntukan berjumlah RM140 juta bagi membuat muka sauk baharu dari Kampung Air Hitam ke LRA Chini dan pembinaan LRA baharu bagi menampung keperluan penggunaan yang sebelum ini disalurkan dari LRA Chini dan LRA Kuala Lepar.

"Kos ini adalah termasuk pemasangan paip sepanjang 25 kilometer bagi mengambil air mentah dari Sungai Pahang untuk diproses (disalurkan) ke LRA Chini, sebelum diagihkan kepada pengguna.

"Jadi, kalau semua peruntukan yang sudah diumumkan dan diluluskan sebelum ini dapat diteruskan oleh Pusat, sudah pasti perkara ini boleh diselesaikan," katanya