Jangkitan CDV antara punca harimau belang berkeliaran

Foto 123RF (Gambar kecil: Mark Rayan)
Foto 123RF (Gambar kecil: Mark Rayan)
A
A
A

SHAH ALAM - Jangkitan virus canine distemper (CDV) merupakan antara punca kejadian harimau belang yang dikesan berkeliaran di perkampungan orang asli Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.

Pengarah Wildlife Conservation Society (WCS) Malaysia, Dr Mark Rayan Darmaraj berkata, sebarang jangkitan penyakit atau kecederaan terhadap seekor harimau boleh menyebabkan haiwan tersebut merayau di luar habitat semula jadi mereka, seterusnya mendatangkan konflik kepada manusia.

Beliau berkata, bagi kes jangkitan virus tersebut, ia berupaya menjangkiti sistem saraf pusat haiwan berkenaan dan membawa kepada perubahan tingkah laku seperti kehilangan perasaan takut dan tindak balas agresif biasa.

“Terdapat kes di Rusia, India dan juga Malaysia di mana harimau yang dijangkiti ditemui memasuki bandar dan berkeliaran di atas jalanan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Pada Selasa, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menjalankan operasi pemantauan di perkampungan orang asli Pos Bihai susulan kelibat 11 ekor harimau belang dilihat berkeliaran di kawasan itu sejak Isnin.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani pada Rabu memaklumkan, harimau berkenaan didapati positif CDV berdasarkan ujian terhadap sampel najis haiwan terbabit.

Mengulas lanjut, Mark berkata, virus CDV yang menjangkiti seekor harimau pada mulanya akan menjejaskan sistem pernafasan dan penghadaman sebelum mula menjangkiti sistem saraf.

“Kes neurologi dalam harimau liar selalunya membawa maut. Jangkitan CDV adalah pada jangka pendek. Haiwan yang terjejas akan sama ada mati atau pulih, seterusnya membina imuniti yang boleh bertahan sepanjang hayat mereka,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, meskipun masih tiada statistik untuk menilai risiko CDV terhadap harimau belang, namun populasi haiwan berkenaan yang kecil dan terpencil serta tinggal di blok hutan kecil dan terpencil menyebabkan ia terdedah kepada risiko kepupusan lebih tinggi jika penyakit itu berleluasa.

Mengulas mengenai cara virus tersebut berjangkit kepada haiwan tersebut, Mark berkata, ia boleh merebak melalui sentuhan langsung dengan haiwan lain yang telah dijangkiti sama ada ketika memakan binatang karnivor atau semasa melakukan hubungan dengan harimau lain.

Menurut beliau, anjing liar dan domestik yang juga dikenali sebagai pembawa penyakit serta tinggal berdekatan dengan pinggir hutan terutama di kampung, ladang dan kem pembalakan turut boleh menjadi sumber penularan.

Sehubungan itu, Mark berkata, vaksinasi terhadap anjing yang tinggal di kawasan tersebut adalah sangat penting bagi mengelakkan dan menangani penularan virus berkenaan.

“Selain itu, kajian yang lebih disasarkan untuk mengumpul data asas mengenai kes CDV dalam karnivor liar diperlukan untuk lebih memahami peranan haiwan liar atau domestik sebagai penyumbang kepada takungan CDV tempatan.

“Sebaik-baiknya adalah wajar untuk merangka strategi pengawasan dan pengurusan penyakit yang bukan sahaja mengurus wabak, tetapi juga meminimumkan risiko pada masa depan,” ujar beliau.

Pada masa sama, Mark berkata, universiti tempatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga boleh membantu Perhilitan untuk menjalankan kajian lanjut dalam memahami kelaziman penyakit itu.

Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk tempatan juga boleh memainkan peranan dalam melaporkan kes yang disyaki CDV kepada Perhilitan supaya penyakit itu dapat disiasat dan dibendung segera.

Berdasarkan dapatan Survei Harimau Pertama yang dilaksanakan mulai tahun 2016 hingga 2020, anggaran populasi Harimau Malaya terkini adalah kurang daripada 200 ekor.