X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 28 Mei 2022

PRU15: Pemuda Amanah minta PH selesaikan segera pembahagian kerusi

Razak Ridzuan - Foto internet
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) meminta semua peringkat kepimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk segera menyelesaikan urusan pembahagian kerusi dan hal berkaitan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Razak Ridzuan berkata, perkembangan semasa politik tanah air menuntut parti politik supaya segera membuat persediaan menghadapi situasi lebih mencabar berbanding PRU sebelum ini.

Beliau berkata, langkah segera itu juga perlu dilaksanakan bagi memastikan persediaan jentera dapat dibuat dan gerak kerja boleh ditumpukan untuk meningkatkan sokongan kepada gabungan tersebut.

“Pemuda Amaah juga menggesa agar Konvensyen PH diadakan pada tahun ini sebelum PRU15 bagi memberi mesej jelas kepada rakyat bahawa PH bersedia dan serius untuk mengambil alih Putrajaya dengan menawarkan sebuah kerajaan yang stabil dan kompeten.

“Justeru, Pemuda Amanah amat berharap kepimpinan tertinggi semua parti khususnya Majlis Presiden dapat mengambil serius saranan ini bagi memastikan PH menang dalam PRU15 akan datang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasmi Amanah pada Jumaat.

Pada September lalu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang memaklumkan rundingan kerusi dalam kalangan parti komponen PH sudah 95 peratus selesai.

Pada masa sama, isu lain turut berbangkit dalam PH untuk mengadapi PRU15 adalah berkenaan dengan pemilihan logo bagi mewakili gabungan tersebut. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!