Azalina syor Parlimen selia pelantikan ketua agensi

Azalina - Foto Bernama
Azalina - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan boleh mempertingkatkan peranan Parlimen untuk menyelia pelantikan ketua agensi, khususnya melibatkan agensi penguatkuasaan undang-undang di negara ini.

Cadangan itu disyorkan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said selepas beberapa pihak mencadangkan jawatankuasa baharu untuk menyelia pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, pelantikan semasa ketika ini dibuat oleh suruhanjaya perkhidmatan.

"Banyak yang telah diperkatakan mengenai isu pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. Berikutan itu, banyak pihak menggesa penubuhan satu jawatankuasa bagi menyelia pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

"SPRM mempunyai lima jawatankuasa pengawasan, di mana tiga daripadanya ditubuhkan di bawah Akta SPRM 2009 dan dua secara pentadbiran. Persoalannya, patutkah kita menubuhkan jawatankuasa lain?" ciapnya di Twitter pada Jumaat.

Jelas Azalina, cadangan yang dibuat itu adalah dengan niat baik atas kapasitinya sebagai ahli Parlimen.

"Saya tidak berniat jahat dalam menyatakan pendapat umum saya. Saya hanya menjalankan tugas sebagai wakil rakyat, justeru sebagai seorang penggubal undang-undang," ujar beliau.

Pada masa ini, Akta SPRM 2009 menetapkan Ketua Pesuruhjaya SPRM dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Akta itu tidak mewajibkan pengawasan Parlimen dalam proses pemilihan pemegang jawatan berkenaan.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan Azam telah diminta hadir ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 19 Januari depan.

Satu surat juga telah dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin yang meminta Azam untuk hadir ke mesyuarat itu bagi membincangkan isu pemilikan jutaan saham dalam dua buah syarikat tersenarai baru-baru ini.