ADUN Perak ditahan positif dadah

A
A
A

GEORGE TOWN - [DIKEMASKINI] Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak ditahan bersama 35 individu lain selepas ujian saringan air kencing mereka positif dadah.

Kesemua mereka ditahan di sebuah restoran yang dahulunya merupakan kelab malam di Perai di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani berkata, ADUN berusia 50-an itu ditahan pada jam 9 malam, Khamis.

"Saya sahkan bahawa seorang ADUN dari Perak ditahan bersama 35 orang lagi selepas ujian air kencing mereka positif dadah. Daripada 36 yang ditahan itu, 28 lelaki (termasuk ADUN) dan lapan lagi wanita.

"Tangkapan dijalankan di sebuah kelab malam yang kini menggunakan lesen restoran untuk beroperasi. Bagaimanapun, keadaan premis dan perhiasannya masih seperti kelab malam," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Katanya lagi, operasi yang dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman itu turut menahan 12 wanita warga Vietnam.

"Polis memeriksa 82 pelanggan yang berusia lingkungan antara 21 hingga 70 tahun ketika operasi itu, 36 orang ditahan di atas kesalahan narkotik termasuk ADUN berkenaan manakala 12 lagi di bawah Akta Imigresen.

"ADUN yang ditahan itu direman sehari pada Jumaat dan dia akan dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan patologi. Ujian saringan pertama positif dadah namun kita akan menunggu laporan patologi untuk pengesahan.

Artikel Berkaitan:

"Sementara itu, kita masih menyiasat peranan 12 wanita warga Vietnam yang ditahan itu. Mereka juga gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri dan didapati tinggal lebih masa," katanya.

Kes ADUN tersebut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.