Fasa kedua pembersihan pasca banjir bermula Isnin

Ramli (tiga dari kanan) menutup pintu tong RORO terakhir di Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Seksyen 21, di sini pada Jumaat.
Ramli (tiga dari kanan) menutup pintu tong RORO terakhir di Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Seksyen 21, di sini pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Fasa kedua pembersihan pasca banjir di lapan kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor akan bermula Isnin depan.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir berkata, fasa tersebut meliputi kerja membuang sisa longkang yang menyumbat saliran dan penyemburan air antibakteria di semua lapan PBT termasuk stesen pemindahan sementara sampah pasca banjir.

Menurutnya, pihak KDEBWM menjangkakan kerja-kerja pembersihan fasa kedua itu akan mengambil masa tiga hingga lima bulan untuk diselesaikan sepenuhnya.

"Saya jangkakan lebih 7,000 aset digerakkan kepada lapan PBT ini, yang mana kita akan guna mesin 'catch basin cleaner' (CBC) untuk menyedut sisa tersumbat di dalam longkang dan tujuh mesin penembak air (water jetter) bagi memecahkan dalam saliran.

"Kalau kita tidak bersihkan longkang yang tersumbat, ia akan memberikan masalah besar jika hujan lebat berlaku lagi," katanya ketika melawat Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Seksyen 21, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ramli berkata, dua jentera penyapu jalan (road sweeper), 400 buah lori 'Roll On Roll Off' (RORO) akan bergerak di lapan PBT yang terjejas akibat banjir bagi kerja-kerja pembersihan fasa kedua tersebut.

Bagaimanapun katanya, kerajaan Selangor memberi arahan kepada pihaknya untuk memberikan peluang kepada penduduk yang terjejas mengeluarkan sampah daripada rumah mereka sehingga Ahad ini sebelum memulakan kerja fasa seterusnya pada Isnin.

"Saya harap kita berikan kegembiraan kepada semua mangsa banjir dan kita akan teruskan jadual pembersihan kita seperti biasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ramli berkata sebanyak 11 stesen pemindahan sementara pasca banjir yang beroperasi sebelum ini mula ditutup pada 3 Januari lalu membabitkan tiga stesen di Sepang.

"Tanpa stesen di sini, saya jangkakan proses membawa keluar semua sampah banjir di seluruh kawasan seliaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan sekitarnya masih belum selesai.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Selangor.

"Kita masih ada satu lagi stesen pemindahan sementara di Bukit Puchong 4 di Subang Jaya yang akan ditutup pada Jumaat. Jadi, semua 11 stesen pemindahan sementara KDEBWM telah ditutup," katanya.