X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

[VIDEO] Bangkai penyu agar terdampar di Pantai Batu Buruk

Penyu Agar yang ditemui mati terdampar di persisiran Pantai Seberang Takir di Kuala Nerus hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA TERENGGANU - Bangkai seekor penyu agar jantan dewasa dianggarkan berusia 20 tahun ditemui terdampar di Pantai Batu Buruk, di sini pada Jumaat.

Pengarah Perikanan negeri, Ruzaidi Mamat berkata, bangkai penyu sepanjang 1.3 meter dan berat antara 40 hingga 50 kilogram (kg) itu ditemui orang awam yang kebetulan berada di kawasan itu sekitar jam 10 pagi.

"Siasatan ke atas bangkai penyu tidak menemukan sebarang kesan khianat dan ia dipercayai mati kerana lemas akibat terjerut pada pukat tunda nelayan.

"Berdasarkan siasatan ke atas fizikal haiwan, kita percaya ia telah mati lebih 24 jam sebelum dihanyutkan ke tepi pantai," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Ruzaidi berkata, bangkai penyu itu ditanam berdekatan lokasi ia ditemui mati jam 3 petang.

Sementara itu, Ruzaidi berkata, Jabatan Perikanan Terengganu turut menyiasat gambar tular penemuan bangkai seekor lagi penyu di Pantai Seberang Takir, pada Jumaat.

Katanya, siasatan ke atas bangkai penyu tersebut mendapati ia adalah penyu yang sama yang ditularkan mati di pantai itu pada 12 Januari lalu.

"Pegawai kita mendapati penyu agar betina dewasa berat sekitar 40kg itu adalah penyu yang sama ditularkan di media sosial sebelum ini kerana bangkai penyu itu masih belum diserahkan kepada pihak perikanan.

"Kita telah cuba hubungi individu yang menularkan gambar penemuan penyu ini untuk mendapatkan maklumat namun tiada sebarang respons," katanya.

Ruzaidi berkata, pihaknya juga tidak dapat mengenal pasti punca kematian haiwan itu disebabkan badannya telah melalui proses pereputan.

"Kemungkinan penyu itu mati kerana lemas atau terhentak pada batu semasa ombak besar ketika musim tengkujuh. Namun punca sebenar kita tidak dapat kenal pasti.

"Gambar badannya yang terbelah sebelum ini tidak menunjukkan ia dikhianati manusia kerana siasatan mendapati ia merupakan proses pereputan (retak) setelah haiwan itu lama mati," katanya.

Menurut Ruzaidi, penemuan bangkai itu menjadikan sebanyak lima bangkai penyu ditemui di pantai Terengganu dalam tempoh dua minggu tahun ini.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan seorang mekanik menemui bangkai seekor anak penyu agar di pantai Kampung Pulau Kerengga, Marang bersama gumpalan plastik pada mulut haiwan itu.

Berdasarkan statistik, sebanyak 51 kes kematian melibatkan hidupan marin itu yang direkodkan di seluruh Terengganu sepanjang tahun lalu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!