Tiada campur tangan kes berprofil tinggi: Ketua Hakim Negara

Tengku Maimun pada sidang media Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2022 di Istana Kehakiman pada Jumaat. - Foto Bernama
Tengku Maimun pada sidang media Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2022 di Istana Kehakiman pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menafikan ada didekati pihak tertentu untuk campur tangan dalam urusan mahkamah berhubung kes berprofil tinggi.

Tengku Maimun berkata, tiada siapa menghubunginya atau meminta pertolongan dalam apa bentuk sekalipun.

“Saya percaya, hakim lain juga tidak pernah mengalami pengalaman sama, mungkin ada yang hubungi Badan Kehakiman tetapi saya tidak boleh buat spekulasi mengenai hakim lain,” katanya dalam sidang media Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2022 di Mahkamah Persekutuan di sini pada Jumaat.

Ia selepas beliau ditanya mengenai perutusan khas Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa ada pihak tertentu yang mendesaknya supaya mencampuri urusan mahkamah.

Menyentuh ucapan Presiden Majlis Peguam, Tengku Maimun memberitahu, mengikut pemahamannya, ada pihak cuba menghubungi AG Kalidas Krishnan.

Jika ada sekalipun, beliau menegaskan bahawa hakim hanya akan membuat keputusan berdasarkan bukti dan undang-undang.

Sebelum ini, beliau mengakui ada mendengar isu yang dikeluarkan bekas Perdana Menteri itu, namun perkara sedemikian tidak berlaku ke atasnya.

Pagi Jumaat, Presiden Majlis Peguam, AG Kalidas Krishnan dalam ucapannya berkata, menerusi perutusan khas sebelum Muhyiddin meletakkan jawatan, bekas Perdana Menteri itu mendakwa ada pihak yang meminta supaya mencampuri urusan mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Kalidas menegaskan bahawa Majlis Peguam sentiasa mempertahankan prinsip kebebasan dan integriti kehakiman.

Beliau berkata, ia tidak boleh terus dicemari dan kepentingan Badan Kehakiman perlu dilindungi daripada sebarang unsur campur tangan.

“Mengenai kebebasan Institusi Kehakiman, satu kenyataan dibuat oleh bekas Perdana Menteri dalam ucapan di televisyen pada 4 Ogos 2021 lalu, bahawa beliau menerima rayuan daripada individu untuk campur tangan dalam hal mahkamah.

"Adalah menjadi tanggungjawab kita, untuk memastikan tiada siapa yang berada di atas undang-undang, tanpa mengira hubungan politik atau sosial mereka," katanya.