Hakim Mahkamah Tinggi boleh semak semula hukuman

Seorang remaja lelaki dipenjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang kerana cuba mencuri tabung masjid. Gambar kecil: Tengku Maimun
Seorang remaja lelaki dipenjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang kerana cuba mencuri tabung masjid. Gambar kecil: Tengku Maimun
A
A
A

PUTRAJAYA - Hakim Mahkamah Tinggi boleh menyemak hukuman yang diputuskan Mahkamah Rendah yang secara berlebihan atau kurang sesuai daripada undang-undang sedia ada.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, undang-undang sedia ada membolehkan perkara itu diperiksa semula dengan merujuk rekod kes terlibat.

“Kalau dapat tahu daripada laporan akhbar atau mana-mana sumber, jika berpendapat bahawa keputusan yang dibuat agak berlebihan atau kurang sesuai daripada undang-undang sedia ada, ada kemungkinan boleh dilakukan.

“Terpulang kepada Hakim Mahkamah Tinggi masing-masing,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2022 di Mahkamah Persekutuan, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Seramai 430 jemputan mengikuti majlis tersebut iaitu 80 secara fizikal manakala selebihnya secara dalam talian.

Antara yang turut serta menerusi aplikasi Zoom ialah Ketua Mahkamah Agung Republik Indonesia, Profesor Dr Muhammad Syarifuddin; Ketua Hakim Negara Mahkamah Agung Filipina, Alexander G Gesmundo dan Ketua Hakim Syarie Malaysia, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Tengku Maimun berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hukuman 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang terhadap seorang remaja lelaki kerana cuba mencuri tabung masjid.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan seorang remaja yang tular selepas dijirus air mengikut prosedur mandi jenazah, dipenjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang, kerana cuba mencuri tabung masjid.