Kastam rampas 3,960kg mercun dalam stor sejuk beku ayam

Mohd Nasir (tiga dari kiri) menunjukkan mercun yang dirampas dalam serbuan berkenaan.
Mohd Nasir (tiga dari kiri) menunjukkan mercun yang dirampas dalam serbuan berkenaan.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 3,960 kilogram (kg) mercun seludup bernilai lebih RM130,000 termasuk cukai yang disembunyikan di dalam sebuah stor simpanan sejuk beku ayam di Kampung Atas Pinggir, Pasir Mas dalam satu serbuan pada Rabu.

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Nasir Deraman berkata, dalam serbuan pada jam 9 malam itu, pihaknya menemui 600 guni mercun jenis bola dan 15 kotak mercun jenis CN4002 yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

"Kami juga menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an yang dipercayai mengambil upah menyimpan bekalan berkenaan untuk sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

"Siasatan awal mendapati modus operandi yang digunakan ialah dengan meminta bantuan penyeludup untuk membawa masuk barang berkenaan secara berperingkat dan disimpan di satu lokasi sebelum dipasarkan," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JKDM Rantau Panjang pada Jumaat.

Menurutnya, penemuan berkenaan berkemungkinan membabitkan sindiket namun siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya melibatkan tangkapan lelaki berkenaan.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM50,000 dan tidak melebihi dari 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

"Justeru JKDM meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

"Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," ujarnya.

Artikel Berkaitan: