Keputusan EC jejas 112,635 pekebun kecil Felda

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan berat sebelah Suruhanjaya Eropah (EC) yang menyenaraikan minyak sawit sebagai bukan bahan api hijau, akan menjejaskan seramai 112,635 pekebun kecil Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang sudah pun dibebani kesan penyusutan harga minyak sawit (MSM).

Dalam satu kenyataan hari ini, Felda menyifatkan keputusan itu sebagai bermotifkan politik, tidak adil dan merupakan perlindungan yang bersifat diskriminasi.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya keputusan EC pada 13 Mac lepas yang menyenaraikan minyak sawit sebagai bukan bahan api hijau dan tidak harus dipromosikan kerana menyebabkan kemusnahan hutan," kata Felda.

Malah, Felda berkata, larangan terhadap minyak sawit itu akan hanya memburukkan lagi nasib pekebun kecil yang sudah pun terjejas akibat penyusutan harga MSM selain menjadikan mereka terperangkap dalam kemiskinan.

Ini berikutan keadaan golongan itu yang bergantung kepada pendapatan daripada hasil komoditi itu untuk menikmati kehidupan lebih baik bagi diri sendiri serta keluarga masing-masing.

Felda yang menyertai Felcra Bhd, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah dan Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia, bertindak mengeluarkan deklarasi bersama meminta kerajaan melaksanakan pendekatan lebih tegas bagi menangani isu itu termasuk menggunakan saluran politik dan ekonomi untuk membantah sekatan minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU).

"Kami ingin mengulangi pendirian tegas kami bahawa (tindakan) perlindungan sedemikian adalah menyamai sekatan ekonomi jika EU tidak menarik balik keputusan ini demi melindungi kepentingan seramai 650,000 pekebun kecil dan tanggungan mereka,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: