Kesalahan seksual kanak-kanak naik mendadak: Ketua Hakim Negara

Tangan - Foto 123RF
Tangan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA – Kesalahan seksual terhadap kanak-kanak menunjukkan peningkatan mendadak dengan hampir 42 peratus.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, ia melibatkan bilangan pendaftaran kes di mahkamah antara 2020 dan 2021.

Justeru, beliau berkata, Badan Kehakiman telah mengadakan dialog dengan Badan Eksekutif supaya mewujudkan lebih banyak mahkamah jenayah seksual untuk mendengar kes-kes terbabit.

“Kesalahan seksual terhadap kanak-kanak adalah masalah yang serius dan berbekalkan usaha yang dijalankan kelak, diharap dapat membantu menurunkan bilangan kes itu,” katanya ketika berucap di Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2022 di Mahkamah Persekutuan, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Seramai 430 jemputan mengikuti majlis tersebut iaitu 80 secara fizikal manakala selebihnya secara dalam talian.

Antara yang turut serta menerusi aplikasi Zoom ialah Ketua Mahkamah Agung Republik Indonesia, Profesor Dr Muhammad Syarifuddin; Ketua Hakim Negara Mahkamah Agung Filipina, Alexander G Gesmundo dan Ketua Hakim Syarie Malaysia, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Difahamkan, mahkamah jenayah seksual kanak-kanak akan diwujudkan di Johor Bahru, Johor dan Petaling Jaya, Selangor sebagai tambahan kepada mahkamah sedia ada di Putrajaya dan Kuching.

Artikel Berkaitan:

Berbeza dengan kes pemerdagangan manusia, Tengku Maimun berkata, ranking antarabangsa sepanjang empat tahun bermula 2018 telah menunjukkan penurunan.

Menurutnya, terdapat kemungkinan jumlah kes daripada 402 pada 2020 menurun kepada 333 (2021) adalah disebabkan wabak Covid-19.

“Kami mengambil berat dengan penurunan dalam ranking antarabangsa, tetapi perlu difahami bahawa dalam sistem adversarial seperti kita, mahkamah tidak berupaya untuk mengambil langkah aktif bagi menghapuskan kes pemerdagangan manusia itu.

“Namun jika kes sedemikian dibawa ke Mahkamah, hakim mesti memutuskannya mengikut undang-undang, fakta dan bukti,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kes jenayah jalanan, keluarga dan sivil am turut menunjukkan penurunan.

Menurutnya, kes jenayah jalanan mencatatkan jumlah terendah pada 2021 dengan penurunan 57.5 peratus manakala keluarga (13.2 peratus) dan sivil am (11.4 peratus).