Wajib iklan jawatan kosong di MyFutureJobs

Majikan diwajibkan untuk membuat iklan kekosongan jawatan di portal MYFutureJobs. - Foto Bernama
Majikan diwajibkan untuk membuat iklan kekosongan jawatan di portal MYFutureJobs. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Majikan diwajibkan untuk membuat iklan kekosongan jawatan di portal MYFutureJobs di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Menteri KSM, Datuk Seri M Saravanan berkata, langkah tersebut bertujuan untuk memastikan peluang pekerjaan yang ada dalam pasaran ditawarkan kepada pekerja tempatan sebelum kekosongan itu diisi oleh pekerja asing.

"Kewajipan majikan untuk mengiklankan kekosongan jawatan sekurang-kurangnya selama 30 hari di portal MYFutureJobs telah bermula sejak 1 Januari lalu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini, isu mengenai kekurangan tenaga kerja dalam sektor pekerjaan terutamanya yang berkaitan dengan 3D (kotor, bahaya dan sukar) sering dibangkitkan.

"Kekosongan dalam sektor ini sering kali diisi oleh pekerja asing berikutan tiada pekerja tempatan yang berminat," katanya.

Beliau berkata, kerajaan prihatin dengan kekangan yang dihadapi oleh majikan yang terlibat dalam sektor pekerjaan 3D dengan bersetuju untuk membenarkan pengambilan pekerja warga asing dalam semua sektor yang dibenarkan pada 10 Disember lalu.

"Semua sektor yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing ini adalah pertanian, perkilangan, perkhidmatan, perlombongan dan kuari, pembinaan dan pekhidmat domestik.

"Walau bagaimanapun, saya ingin menggesa dan menggalakkan agar kekosongan yang ada diisi oleh pekerja tempatan," katanya.

Artikel Berkaitan: