'Permohonan saya ditolak tanpa sebarang alasan'

Syed Saddiq - Foto Bernama
Syed Saddiq - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tiada sebab atau alasan diberikan oleh pejabat daerah berhubung permohonannya untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Muar.

Beliau yang merupakan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) turut mempersoalkan mengapa ada ‘double standard’ apabila beliau mahu membantu kawasannya.

Syed Saddiq mendakwa perkara itu berbeza apabila pemimpin Pas, UMNO atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang meminta bantuan.

“Muar kawasan saya, saya mohon untuk bantu kawasan saya tapi akhirnya ditolak. Kenapa bila sampai saya, terus double standard.

"Suruh ikut prosedur operasi standard (SOP), saya dah pun ikut SOP. Orang kampung yang jemput kami bersihkan rumah mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurut Syed Saddiq, orang ramai menderita akibat banjir dan pihaknya tidak ada masa untuk 'melayan' kerenah birokrasi seperti itu.

“Saya nak bantu pun kawasan saya, bukan kawasan orang lain. Ini tanggungjawab saya kepada orang Muar.

“Kenapa kerajaan takut sangat untuk saya bantu kawasan saya,” soalnya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, perkara seperti itu tidak akan melemahkannya dan beliau akan membantu penduduk Muar dengan apa cara sekalipun.