Empat individu dirakam keterangan kes penemuan mayat bayi

Mayat seorang bayi perempuan ditemui oleh penduduk di Flat Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Mayat seorang bayi perempuan ditemui oleh penduduk di Flat Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis memanggil seramai empat individu untuk dirakam keterangan berhubung penemuan mayat seorang bayi perempuan di Blok A, Flat Danau Kota, Setapak, di sini pada 8 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kesemua individu berkenaan merupakan saksi kejadian dipanggil untuk membantu siasatan.

"Kami sedang menunggu laporan kimia dan laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian bayi tersebut.

"Setakat ini masih belum ada tangkapan yang dibuat dan siasatan masih berjalan," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Jumaat.

Sinar Harian pada 8 Januari melaporkan mayat bayi malang yang cukup sifat tersebut ditemui oleh orang awam di atas tanah di bawah Blok A, Flat Danau Kota, di sini.

Siasatan awal pihak polis di tempat kejadian mendapati bayi tersebut baru dilahirkan dianggarkan hanya berusia satu hari namun bangsa kanak-kanak berkenaan tidak dikenal pasti.

Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit.

Artikel Berkaitan: