Gilis kaki anak tiri, pengawal keselamatan dipenjara lima tahun

Ramlan mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan cedera ke atas anak tirinya di Mahkamah Sesyen Melaka pada Jumaat.
Ramlan mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan cedera ke atas anak tirinya di Mahkamah Sesyen Melaka pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Padah menggilis kaki anak lelaki tirinya menggunakan motosikal, seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ramlan Abdul Karim, 32, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati telah dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas anak tiri berumur 10 tahun menggunakan sebuah motosikal jenis Yamaha Ysuku.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kampung Padang pada 7 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku kira-kira jam 11.10 malam selepas tertuduh, ketika itu berada di atas motosikal bertengkar dengan isterinya membabitkan hal penceraian di hadapan rumah mereka.

Berang dengan salah faham yang berlaku, tertuduh secara tiba-tiba telah memecut laju motosikalnya sehingga menggilis mangsa yang berada berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari merayu hukuman berat diberikan dengan mengambil kira faktor umur mangsa yang hanya berusia 10 tahun dan kecederaan dialaminya.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakli peguam merayu agar hukumannya diringankan kerana telah insaf selain perlu menjaga ibu dan bapanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar.