23 individu didakwa promosi judi dalam talian

Kesemua tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Georgetown pada pagi Jumaat.
Kesemua tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Georgetown pada pagi Jumaat.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 23 individu termasuk 12 remaja bawah umur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mempromosikan perjudian dalam talian pada minggu lalu.

Kesemua tertuduh yang berusia 16 hingga 32 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa mempromosikan permainan perjudian dalam talian dengan menggunakan set komputer.

Seramai 13 daripada mereka melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Persiaran Gurney kira-kira jam 5.25 petang manakala 10 lagi melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Jalan Kelawai kira-kira jam 6.45 petang pada 7 Januari lalu.

Atas pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 serta hukuman penjara tidak lebih tiga tahun.

Selain itu, tertuduh juga berdepan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil mencadangkan kadar ikat jamin RM10,000 bagi setiap tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kesemua tertuduh yang diwakili peguam, Pang Chuin Keat merayu agar kesemua anak guamnya diberi ikat jamin yang minimum.

Rosnee menawarkan kadar ikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 7 Mac depan sebagai sebutan semula kes.