X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Khairuddin digugurkan sebagai AJK Pas

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
A
A

MARANG - [DIKEMAS KINI] Tidak sampai dua bulan dilantik semula sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali digugurkan daripada jawatan tersebut.

Perkara itu disahkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Jumaat, sekali gus menjawab desas-desus yang bertiup sejak malam Khamis.

Menurut Abdul Hadi, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Pas yang diadakan di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur pada Rabu.

"Pengguguran mana-mana pemimpin adalah perkara biasa dalam Pas sama ada diberhentikan atau ditukarkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah dhuha mingguan di Masjid Rusila di sini pada Jumaat.

Abdul Hadi bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya punca sebenar penyingkiran bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi dalam kepimpinan Pas.

Beliau sebaliknya memberitahu perkara itu diuruskan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

"Apa yang diputuskan ini sudah tentu ada sebab kerana dalam parti kita ada disiplin. Siapa yang tidak ikut (disiplin), dia boleh ditukarkan jawatan, bertugas di tempat lain, digantung keahlian atau boleh dipecat," katanya.

Mohd Khairuddin sebelum ini tersingkir ketika pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas bagi sesi 2021-2023 yang dijalankan ketika Muktamar Tahunan Pas Ke-67 pada 7 November lalu.

Beliau bagaimanapun dilantik semula sebagai AJK Pas pada 23 November lalu.

Sementara itu, Mohd Khairuddin menerusi hantaran di laman Facebooknya pada malam Khamis memberikan gambaran mengenai perkara itu.

Dalam status yang dimuat naik, Khairuddin menyifatkan perbezaan pendapat merupakan perkara biasa kerana setiap manusia mempunyai akal dan ilmu berlainan yang menghasilkan sudut pandang berbeza.

"Tinggal lagi adalah adab dalam berbeza pendapat dan bagaimana menguruskan perbezaan yang boleh menyuburkan lagi sesuatu perbincangan," ujarnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!