X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 17 Januari 2022

[VIDEO] 97.1 peratus mahu pengeluaran 'one off' i-Citra RM10,000

Azril Rizal (dua dari kanan) bersama ahli jawatankuasa Biro Penyelidikan Pemuda UMNO menunjukkan laporan dapatan Kajian Awam Pengeluaran KWSP i-Citra dalam sidang akhbar di Menara Dato Onn, WTCKL di sini pada Jumaat.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Hasil kajian awam yang dijalankan Biro Penyelidikan Pemuda UMNO Malaysia mendapati 97.12 peratus atau 21,524 individu memerlukan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra RM10,000 secara sekali (one off).

Dapatan itu diperoleh melalui Kajian Awam Pengeluaran KWSP i-Citra yang dibuat secara dalam talian untuk tempoh 24 jam melibatkan seramai 21,763 individu.

Pengerusi Biro Penyelidikan Pemuda UMNO, Azril Rizal Yusof Sarit berkata, peringkat umur antara 35 hingga 44 tahun paling ramai yang memerlukan pengeluaran berkenaan dengan kaum Melayu mencatatkan jumlah tertinggi.

"Berdasarkan bancian itu, antara alasan rakyat memerlukan pengeluaran berkenaan adalah disebabkan beban hutang, simpanan masa kecemasan, kelangsungan diri dan keluarga, pembayaran hutang semasa tertunggak semasa perintah kawalan pergerakan (PKP)," katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut mengenai biro penyelidikan yang diterajuinya, Azril Rizal berkata, mereka telah diberi mandat oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki untuk menjalankan kajian secara rawak sejak tahun 2018.

Katanya, selain menjalankan kajian yang terbaharu mengenai pengeluaran KWSP i-Citra, pihaknya sebelum ini turut membuat kajian di beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka baru-baru ini.

"Kalau lihat dari segi kredibiliti jawatankuasa penyelidikan ini, kami sememangnya layak untuk buat andaian atau jangkaan bersandarkan kelulusan dan keupayaan yang dimiliki oleh ahli-ahli kami," katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada hasil laporan itu akan di bawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Azril Rizal mengesahkan ia akan dibawa dalam masa terdekat.

"Kita akan bagi (kepada Perdana Menteri) dalam masa terdekat dan mungkin laporan ini akan dibentangkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan mungkin keputusan selanjutnya akan dibuat oleh MKT nanti," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Biro Penyelidikan Pemuda UMNO, Datuk Mohamad Nizar Najib menegaskan, kerajaan perlu mempertimbang kembali untuk membenarkan pengeluaran secara sekali berjumlah RM1,000 daripada KWSP itu.

"Saya percaya mereka akan gunakan sebaiknya-baiknya untuk kelangsungan keluarga dan survival pekerjaan masing-masing sebab kita juga perlu ingat ramai dalam kategori M40 sudah jatuh kepada B40 tapi dari segi klasifikasi masih dianggap M40.

"Jadi, golongan inilah yang perlukan bantuan i-Citra dan saya berharap kerajaan akan mempertimbangkan semula perkara ini untuk bantu golongan yang kurang dapat perhatian ini," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!