Teresa digesa turun padang, selami hati penoreh getah

Ahmad Zulkifli (lapan, kanan) menyerahkan sumbangan beras kepada penoreh getah di Keda Bukit Kura, Kuala Nerang.
Ahmad Zulkifli (lapan, kanan) menyerahkan sumbangan beras kepada penoreh getah di Keda Bukit Kura, Kuala Nerang.
A
A
A

KUALA NERANG - Menteri disaran untuk turun padang berjumpa penoreh getah di daerah Padang Terap bagi menyelami masalah yang dihadapi oleh golongan tersebut.

Pengerusi Persatuan Penoreh dan Pekebun kecil Padang Terap, Ahmad Zulkifli Ismail berkata, pertemuan empat mata tersebut mampu memberi gambaran sebenar kepada kerajaan apa yang dihadapi oleh penoreh getah hari ini.

Menurutnya, Menteri Industri Utama, Teresa Kok juga perlu mendapatkan gambaran yang sebenar sebelum beliau dan kementeriannya mampu membuat satu keputusan tepat untuk perancangan pendek dan panjang bagi golongan penoreh getah.

"Kami menjemput menteri-menteri berkaitan turun padang untuk berjumpa dengan golongan penoreh. Selami betul-betul masalah yang dihadapi oleh penoreh ini.

"Apabila sudah bertemu barulah menteri boleh fikirkan apa jenis bentuk bantuan yang paling sesuai dihulurkan untuk membantu golongan penoreh miskin tegar," katanya kepada Sinar Harian selepas menyampaikan sumbangan beras fasa pertama dari badan bukan kerajaan (NGO) itu kepada 50 penoreh miskin tegar di Keda Bukit Kura, dekat sini, kelmarin.

Ahmad Zulkifli berkata, Teresa juga boleh meminta agensi yang berkaitan dengan lapangan industri getah untuk hadir bersamanya pada perjumpaan tersebut.

Menurutnya, pertemuan seumpama itu wajar dilakukan dalam usaha untuk mencari solusi terbaik menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh penoreh getah yang masih belum berkesudahan.

"Cadangan menteri yang mahu penoreh terus menoreh getah pada musim hujan kami anggap tidak relevan.

Artikel Berkaitan:

"Cadangan beliau menggunakan teknologi torehan seperti alat pelindung hujan (rain gutter) tidak sesuai kerana sudah tentu penoreh kecil perlu mengeluarkan modal asing untuk membelinya. Di saat hadapi kekangan kewangan sudah tentu mereka tidak akan mampu" katanya.

Bagaimanapun, NGO itu berterima kasih kepada kerajaan kerana menaikkan harga getah sehingga RM2.50 sekilogram walaupun mengakui kenaikan sebanyak 30 sen itu masih belum mampu mengurangkan beban kos sara hidup penoreh getah.

Tambah Ahmad Zulkifli, pihaknya juga menjemput pihak berkaitan seperti Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun untuk bersama-sama turun padang kerana penoreh getah bukan sahaja menjadi pekerjaan kaum Melayu namun turut melibatkan Cina dan juga India.

[ARTIKEL BERKAITAN: Menoreh musim tengkujuh, Teresa dikritik]

[ARTIKEL BERKAITAN: Teknologi menoreh musim hujan tak sesuai]