Kenderaan mewah lesap dalam 3 minit

Azhan menunjukkan cukai jalan palsu yang dihasilkan suspek bagi menjual kenderaan mewah dicuri.
Azhan menunjukkan cukai jalan palsu yang dihasilkan suspek bagi menjual kenderaan mewah dicuri.
A
A
A

BATU PAHAT - Sekumpulan penjenayah dikesan tidak hanya menyasarkan kereta mewah ditinggalkan di kawasan bandar malah bertindak berani membawa lari kenderaan yang di parkir di pekarangan rumah meskipun kawasan itu dilengkapi sistem keselamatan.

Kumpulan dikenali sebagai geng Yon Kuang itu licik apabila memperuntukkan masa hanya tiga minit bagi cubaan membawa lari kenderaan mewah.

Bagaimanapun, kumpulan yang aktif sejak awal tahun ini berkenaan tumpas apabila kesemua suspek berusia antara 24 dan 38 tahun berjaya ditangkap hasil penubuhan unit tindakan khas.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, kesemua tujuh suspek termasuk dua wanita itu ditahan dalam tangkapan berasingan.

“Tangkapan pertama pada 21 Oktober itu berjaya menahan seorang lelaki dan seorang wanita di sebuah kediaman di Jalan Rahmat di sini, pada jam 3 pagi.

“Hasil penahanan pertama kemudian membawa kepada siri tangkapan berbeza sebelum kesemuanya berjaya ditahan semalam,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, hari ini.

Menurutnya, modus operandi sindiket itu hanya menyasarkan kenderaan mewah dilengkapi butang ‘push start' apabila menggodam sistem automatik kereta dengan sebuah peranti.

“Selain daerah ini, ahli sindiket turut dipercayai aktif mencuri di Johor Bahru dan Petaling Jaya, Selangor. Ketika ini, polis berjaya merampas immobilizer kod automatik kereta mewah, peralatan penebuk, alat cetak nombor pendaftaran kereta, alat pembuat cukai jalan selain dua mesin pencetak.

Artikel Berkaitan:

“Hasil tangkapan membawa kepada penemuan kepada lima buah kenderaan iaitu Toyota Vallfire dan Fortuner serta Honda HR-V, Accord dan CR-V membabitkan nilai hampir RM1 juta,” katanya.

Azhan berkata, siasatan awal mendapati ahli sindiket berkenaan menjual kereta curi dengan harga hanya 10 peratus daripada harga sebenar bagi memudahkan urusan.

“Kesemua suspek yang direman untuk disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kereta yang membawa hukuman penjara tujuh tahun maksimum dan denda, jika sabit kesalahan,” katanya.