X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Isu Azam Baki: Pengisytiharan aset, saham perlu dibuat

Tan Sri Azam Baki
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pengisytiharan aset atau saham perlu dibuat berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan 1993 dan Pekeliling Perkhidmatan 2002 yang dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta Kabinet.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, dalam Pekeliling tersebut juga dinyatakan setiap pembelian saham seseorang individu tidak melebihi dari RM100,000.

Menurutnya, sekiranya ada berlaku ketidakpatuhan terhadap peraturan tersebut maka ia perlu disiasat kembali.

“Jadi dalam kes yang berkaitan Ketua Pesuruhjaya Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sudah ke dibuat? Dengan pembelian aset di tahap itu apakah ketua, pengerusi atau penyelia tentang perolehan aset itu dimaklumkan secara rasmi?.

“Dalam penelitian kami, kami tidak dapat melihat perkara ini, oleh itu ia diletakkan sebagai satu intipati kepada persoalan sekarang yang berhadapan di seluruh negara demi pentadbiran dan penyiasatan,” katanya ketika sidang akhbar secara dalam talian selepas Mesyuarat JKMR pada Jumaat.

Turut bersama dalam sidang akhbar tersebut Senator Zaiedi Suhaili, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Mengulas lanjut, Rais berkata, lantaran itu JKMR mengesyorkan supaya siasatan dilakukan terhadap Azam

“Beliau bersetuju untuk disiasat dan dapat kita terima sebagai satu ruang ketelusan untuk beri penjelasan sebenar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Sekuriti (SC), Jawatankuasa Disiplin dan Pemerolehan Aset Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Ketua Setiausaha Negara (KSN) atau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)

"Namun, soal perisytiharan harta perlu diapungkan sebagai nas dalam mana-mana pemerolehan aset bagi pegawai kerajaan dan lain-lain,” ujarnya.

Selain itu, apabila ditanya berkenaan Azam wajar direhatkan sementara siasatan sedang berjalan, JKMR bersetuju dengan perkara tersebut namun menyerahkannya kepada SPA.

"Apabila seseorang pegawai disiasat, pegawai itu biasanya digantung kerja, namun terdapat banyak pandangan dalam perkara ini.

"Ada yang menyatakan ia bukan perbuatan jenayah sebaliknya adalah salah laku atau tidak dapat sempurnakan tugas.

"Justeru, apa yang terbaik seiring pandangan kami adalah supaya beliau mengambil cuti rehat sebentar dan membiarkan pihak bertanggungjawab menjalankan tugas.

"Namun, ada juga pihak-pihak yang lebih tinggi (jawatan) sebelum ini disiasat, tetapi tak ada cuti.

"Terserah kepada SPA untuk beri cuti atau tidak, tapi harus mengambil natijah amalan yang sedang berlaku melibatkan kes berprofil tinggi dan mereka (individu disiasat) tidak mengambil cuti," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!