X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 28 Mei 2022

[VIDEO] Maszlee cadang Hamid Bador ketuai jawatankuasa siasat Azam Baki

Maszlee (tengah) ketika hadir memberikan keterangan di IPD Putrajaya berhubung penyerahan memorandum baru-baru ini oleh AMK tentang dakwaan pemilikan saham Tan Sri Azam Baki.
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dicadang untuk mengetuai jawatankuasa khas bagi menyiasat isu dakwaan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata, cadangan itu dikemukakannya kerana Abdul Hamid merupakan individu yang dipercayai orang ramai.

“Kita tahu beliau mempunyai kredibiliti dan dilihat boleh dipercayai,” katanya selepas merakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini pada Jumaat.

Maszlee mengambil masa kira-kira 20 minit merakam keterangan berhubung penyerahan memorandum oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) kepada SPRM baru-baru ini.

Mengulas lanjut, bekas Menteri Pendidikan itu menambah, perkara ini perlu ditangani kerana SPRM merupakan sebuah badan yang ditugaskan untuk memerangi rasuah.

“Kita sudah tahu isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah jadi lawak jenaka dan bahan contoh tauladan yang tidak elok di luar negara.

“Kini dengan isu Tan Sri Azam Baki imej negara menjadi begitu buruk, tercemar di seluruh negara. Perlu kita lakukan sesuatu demi menyelamatkan imej negara,” dakwanya.

Beliau berpendapat, isu berkenaan bukan berkaitan Azam sebagai seorang individu tetapi berkaitan integriti dan agensi penting negara.

“Menjamin kebersihan integriti dan maruah negara demi kelangsungan masa depan supaya pembangunan tidak terjejas, tahap demokrasi kita tidak tergadai dan tahap integriti negara terus cemerlang. SPRM sepatutnya bersih dan jauh daripada sebarang keraguan dan juga defisit kepercayaan.

“Rakyat gusar dan merasa risau ke arah manakah negara ini tuju jika badan yang diberikan tanggungjawab serta amanah untuk memelihara negara ini daripada rasuah, salah guna kuasa dan korupsi sendiri terpalit dengan skandal yang sehingga kini masih menjadi tanda tanya,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!