Bapa, dua anak lemas bot karam

Operasi SAR dilakukan di perairan Tagabua, Kunak sebelum seorang lagi mangsa bot karam ditemui lemas pada pagi Jumaat.
Operasi SAR dilakukan di perairan Tagabua, Kunak sebelum seorang lagi mangsa bot karam ditemui lemas pada pagi Jumaat.
A
A
A

KUNAK - Tiga beranak lemas manakala seorang lagi terselamat apabila bot yang mereka naiki karam dalam kejadian di perairan Pulau Tagabua di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, empat mangsa yang terlibat ialah pasangan suami isteri dan dua anak mereka yang dipercayai dalam perjalanan dari Lahad Datu menuju ke Kunak.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Sabarudin Rahmat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian sebuah bot karam di perairan terbabit yang menyebabkan tiga mangsa lemas.

"Dua kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing berusia lima dan tiga tahun ditemui lemas dalam kejadian itu. Ibu mereka berusia 25 tahun bagaimanapun berjaya diselamatkan.

"Mayat seorang lagi lelaki dikenali sebagai Saujal Mangguna, 31, iaitu bapa kepada dua kanak-kanak berkenaan ditemui terapung oleh pasukan mencari dan penyelamat (SAR) dan nelayan kira-kira jam 10.40 pagi tadi di perairan Pulau Tagabua," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, kejadian bot karam berlaku ketika semua mangsa dalam perjalanan dari kampung mereka di Kampung Bangkuruan Lahad Datu ke Pekan Kunak.

"Mereka dipercayai keluar membeli barang keperluan harian di Pekan Kunak dan sebaik tiba di lokasi, bot yang dinaiki dipukul ombak akibat angin kencang dan menyebabkan bot mereka terbalik," katanya.

Sabarudin berkata, ketiga-tiga mayat mangsa dibawa ke Hospital Kunak untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

Sabarudin turut menasihatkan orang ramai atau penduduk kampung supaya mengambil langkah keselamatan dan sentiasa berhati-hati ketika menjalankan aktiviti di laut terutama dalam keadaan cuaca ribut dan laut bergelora.