X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

Pemuda bantu mangsa banjir rupanya diami pondok usang

Inilah pondok usang yang didiami Syurnida Juliati bersama dua anaknya di Kampung Bukit Rambai, Melaka.
A
A

MELAKA - Hikmah seorang pemuda membantu mangsa banjir di Krubong di sini baru-baru ini akhirnya membongkarkan kesusahan hidupnya yang mendiami sebuah pondok usang bersama ibu dan adik perempuannya.

Kedaifan keluarga Muhammad Syazmi Aiman Abdullah, 18, sejak lapan bulan lalu yang mendiami pondok usang di dalam kebun itu diketahui selepas sekumpulan Rakan Muda datang untuk menyampaikan bantuan sebelum tular di media sosial.

Ibu remaja itu yang merupakan ibu tunggal, Syurnida Juliati Mohd Shah 46, berkata, tiada ibu yang mahu melihat anaknya hidup susah, namun dia tiada pilihan lain selepas pendapatannya terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain kesan dialami selepas menghidap Covid-19 pada tahun lalu.

Muhammad Syazmi Aiman mengemas barang-barang untuk berpindah ke rumah baharu di Pangsapuri Pokok Mangga.
Muhammad Syazmi Aiman mengemas barang-barang untuk berpindah ke rumah baharu di Pangsapuri Pokok Mangga.

Menurutnya, pelbagai cara dilakukan bagi mendapatkan pendapatan termasuk menjual barangan dalam talian serta mengambil upah menebar roti canai sebelum ditimpa sakit.

Katanya, disebabkan tidak mampu membayar sewa rumah sebanyak RM400 sebulan, dia dan dua anaknya terpaksa tinggal di pondok atas tanah milik keluarganya selain anak bongsunya berusia 12 tahun diberikan jagaan kepada bapa saudaranya di Triang, Pahang.

"Sebenarnya saya tak sangka titik permulaan anak bantu mangsa banjir akhirnya mengubah kehidupan kami ke kediaman lebih baik," katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Rambai di sini pada Khamis.

Menurutnya, selama beberapa bulan berdepan ancaman binatang berbisa seperti ular dan biawak, hasratnya untuk membawa kedua-dua anaknya menetap di kediaman yang lebih selamat akhirnya tercapai apabila kerajaan negeri memberi sementara sebuah rumah di Pangsapuri Pokok Mangga di sini untuk didiami.

"Terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan membantu mendapatkan tempat tinggal sementara yang lebih baik berbanding di pondok ini.

"Sekurang-kurangnya bantuan ini memberi semangat kepada saya untuk memulakan kehidupan di tempat baharu dan berazam keluar dari kepompong kemiskinan," katanya.

Syurnida Juliati duduk di tangga pondok usang yang didiami bersama dua anaknya di Kampung Bukit Rambai, Melaka pada Khamis.
Syurnida Juliati duduk di tangga pondok usang yang didiami bersama dua anaknya di Kampung Bukit Rambai, Melaka pada Khamis.

Sementara itu, Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Masyarakat Ketua Menteri, Muhammad Ayyad Abdullah berkata, keluarga berkenaan akan dipindahkan ke rumah transit di Pangsapuri Pokok Mangga itu dan mereka juga tidak perlu membuat sebarang bayaran pada setiap bulan.

Menurutnya, anak keduanya berusia 15 tahun akan diberikan bantuan persekolahan agar terus bersekolah selain kerajaan negeri akan menanggung yuran pengajian Muhammad Syazmi Aiman dalam kemahiran automotif.

"Kerajaan negeri prihatin dengan nasib keluarga ini dan kita berusaha membantu mereka termasuk mendapatkan kediaman lebih baik.

"Malah agensi kerajaan lain termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) juga akan menyalurkan bantuan bulanan bagi meringankan beban keluarga ini," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!