X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Adik Ainul Nuraisyah terima mesin bantuan pernafasan

YBR terpanggil untuk membantu adik Ainul Nuraishah selepas menerima permohonan bantuan daripada ibunya, Malafarizan.
A
A

SHAH ALAM - Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang menghidap penyakit paru-paru kronik menerima sumbangan mesin bantuan pernafasan daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Ainul Nuraisyah Affendi yang menghidap penyakit Bronkiolitis Obliterans sejak berusia setahun menyebabkan dia terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan seumur hidup.

Pengerusi YBR, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, YBR terpanggil untuk membantu adik Ainul Nuraishah selepas menerima permohonan bantuan daripada ibunya, Malafarizan Mohamad.

“Dengan pemberian bantuan alat pernafasan yang bernilai RM4,200 ini diharapkan dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung mereka keluarga,” katanya ketika ditemui di rumah adik Ainul Nuraishah di Bandar Mahkota Cheras, Cheras pada Khamis.

Megat Zulkarnain (duduk) menyerahkan sumbangan mesin bantuan pernafasan kepada Ainul Nuraishah di kediamannya di Bandar Mahkota Cheras, Cheras, pada Khamis.
Megat Zulkarnain (duduk) menyerahkan sumbangan mesin bantuan pernafasan kepada Ainul Nuraishah di kediamannya di Bandar Mahkota Cheras, Cheras, pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Bahagian Operasi YBR, Syaiful Rizal Abd Ghani dan Pengurus Jabatan Perhubungan Komuniti dan Penjenamaan Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Beliau berkata, pada tahun 2021, YBR telah memperuntukkan hampir RM300,000 bagi pemberian sumbangan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Katanya, ia juga bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat dan bantuan penjagaan kesihatan.

“Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada adik Ainul Nuraishah boleh menghubungi Malafarizan Mohamad di talian 011-37002698,” katanya.

Ainul Nuraishah terpaksa bergantung pada mesin bantuan pernafasan untuk terus bernafas dan penyakit itu boleh membahayakan nyawa jika lewat dirawat serta mudah dijangkiti kuman dan penyakit lain.

Ayahnya yang merupakan seorang askar dan ibunya bekerja sendiri turut terkesan dengan kekangan perbelanjaan dan kekurangan pendapatan disebabkan impak pandemik Covid-19 yang melanda negara kini.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!