Suami isteri berhenti kerja jaga anak sakit hydrocephalus

Nik Isha Zalwani bersama anaknya, Nur Fikriyah yang menghidap masalah kesihatan kronik.
Nik Isha Zalwani bersama anaknya, Nur Fikriyah yang menghidap masalah kesihatan kronik.
A
A
A

MACHANG - Sepasang suami isteri terpaksa berhenti kerja dan berniaga kecil-kecilan bagi memberi sepenuh perhatian menjaga anak ketiga berusia 4 tahun, yang menghidap masalah kesihatan kronik.

Nik Isha Zalwani Ismail, 38, sebelum ini bekerja di sebuah stesen minyak dan berhenti kerja empat tahun lalu sejak melahirkan Nur Fikriyah Elias.

Sementara suaminya, Elias Zakaria, 45, pula bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Machang juga berhenti kerja tahun lalu kerana terpaksa memberi sepenuh perhatian untuk membawa anaknya itu ke hospital setiap bulan.

Nik Isha Zalwani berkata, Nur Fikriyah dilahirkan tidak cukup bulan dan menghidap penyakit hydrocephalus atau lebihan cecair dalam otak, selain cerebral palsy (CP).

Dia juga perlu makan lapan jenis ubat bagi memastikan dia sentiasa sihat dan tidak terkena sawan.

Disebabkan itu, Nur Fikriyah memerlukan rawatan susulan di hospital hampir 10 kali sebulan termasuk fisioterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Hospital Machang dan Klinik Kesihatan Labok, Machang.

"Setiap kali sawan, kami akan bawa ke hospital. Oleh sebab itu kami terpaksa berhenti kerja memandangkan rutin bulanan kami adalah berulang alik ke hospital.

"Kini Nur Fikriyah juga menggunakan tiub khas untuk mengeluarkan cecair dari kepala bagi memastikan kepalanya tidak membesar sebagaimana sebelum ini. Dia pun ada masalah mata dan interaksi yang memerlukan rawatan susulan dengan pakar setiap bulan," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Nik Isha Zalwani berkata Nur Fikriyah hanya mampu terbaring dan memberi respons senyuman setiap kali namanya dipanggil.
Nik Isha Zalwani berkata Nur Fikriyah hanya mampu terbaring dan memberi respons senyuman setiap kali namanya dipanggil.

Selepas berhenti kerja, dia hanya menerima tempahan kek di rumah secara kecil-kecilan, itu pun berdasarkan masa yang terluang jika tidak membawa Nur Fikriyah ke hospital.

Nik Isha Zalwani juga memberitahu, selepas berhenti bekerja, suaminya pula berniaga air balang di Kok Lanas bermula hujung Disember lalu, namun baru lima hari berniaga, mereka terpaksa tutup kedai kerana Nur Fikriyah dimasukkan ke hospital baru-baru ini.

Katanya, sebelum ini Nur Fikriyah menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 namun disebabkan suami masih bekerja ketika itu, maka sumbangan mereka terhenti sehingga tahun lalu.

"Sekarang kami menumpang di rumah adik ipar di Kampung Kerawang. Saya dan suami perlukan RM800 sebulan untuk pembelian susu khas dan juga lampin pakai buang. Selain itu, kami ada lagi dua orang anak berusia 11 dan tujuh tahun yang bersekolah.

"Kami buntu juga kadang-kadang namun ALLAH sentiasa memberi ruang dan jalan yang terbaik. Kami reda dan harap urusan dipermudahkan supaya kami dapat berniaga kecil-kecilan bagi menyara keluarga.

"Keluarga pun banyak membantu meringankan beban kami sejak tidak menerima bantuan JKM lagi. Saya berharap pihak JKM dapat mempertimbangkan kembali sumbangan berkenaan memandangkan suami dan saya sudah tidak bekerja ketika ini," katanya.

Bagi orang ramai yang mahu menyumbang boleh hulurkan bantuan melalui akaun Maybank Nik Isha Zalwani bernombor 162106809571.