X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Pemimpin Bersatu Johor tunggu arahan pucuk pimpinan

Gambar dari kiri: Isa, Tosrin, Dr Sahruddin
A
A

JOHOR BAHRU - "Mungkin esok atau lusa, ketua-ketua bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini diarahkan untuk adakan mesyuarat," kata Ketua Bahagian Bersatu Pontian, Senator Isa Ab Hamid pada Khamis.

Isa berkata, arahan mengadakan mesyuarat itu dijangka dikeluarkan pucuk pimpinan parti sekiranya benar Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu ada mengadakan mesyuarat mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada malam Rabu.

"Saya belum dimaklumkan sama ada mesyuarat MPT Bersatu diadakan malam tadi atau sebaliknya. Tetapi biasanya selepas mesyuarat MPT, ketua-ketua bahagian akan mengadakan mesyuarat.

"Sekiranya malam tadi MPT adakan mesyuarat berhubung PRN Johor, pasti dalam tempoh sehari dua ini, kami ketua-ketua bahagian Bersatu akan menerima arahan supaya mengadakan mesyuarat," katanya di sini pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Bahagian Bersatu Kulai, Tosrin Jarvanthi enggan mengulas mengenai mesyuarat MPT itu.

Beliau sebaliknya berkata, ia hanya melibatkan kepimpinan tertinggi di peringkat Pusat dan bukannya negeri.

"Fikir yang baik- baik sahaja," katanya ADUN Bukit Permai dan Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor itu ketika ditemui di sini pada Khamis.

Setiausaha Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal pula berkata, Bersatu Johor menanti arahan selanjutnya daripada kepimpinan tertinggi parti berhubung PRN Johor.

"Setakat ini kami di Johor tidak maklum mengenai mesyuarat itu. Malah masih belum ada apa- apa perbincangan tentang PRN.

"Ura-ura tentang PRN Johor ini saya tahu daripada media menerusi sidang akhbar Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

"Buat masa ini Bersatu Johor fokus untuk bantu rakyat yang terjejas banjir dan Covid-19 selain ekonomi yang masih belum pulih," katanya yang dihubungi pada Khamis.

Difahamkan, Bersatu mengadakan mesyuarat mengenai PRN Johor di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada malam Rabu.

Keadaan politik di Johor kini hangat selepas timbulnya khabar angin pembubaran DUN Johor bagi membolehkan PRN diadakan bertiup kencang sejak berakhirnya sidang DUN Khas pada minggu lalu.

Pelbagai ura-ura diperkatakan termasuk bakal timbul ADUN Bebas dan PRN Johor dijangka berlaku pada Januari atau Februari iaitu selepas selesai bencana banjir di negeri itu.

Bagaimanapun, Ahad lalu, ADUN Puteri Wangsa daripada Bersatu, Mazlan Bujang yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor dilaporkan menolak dakwaan beliau individu yang dikaitkan akan mengisytiharkan dirinya sebagai ADUN Bebas.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!